Isteri Tak Laksanakan Tanggungjawab, Suami Tak Perlu Beri Nafkah.

Oleh: Zuzu Yasmine

Sebagai seorang isteri, kita perlu taat kepada suami kita. Di mana, mereka inilah ketua keluarga serta pemimpin buat seorang isteri. Bukan itu sahaja, dia juga adalah pelindung yang patut seorang isteri patuhi.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kalau ada masalah selesaikan, kalau nak bagi suami faham jelaskan. Itu sahaja yang boleh dilakukan untuk menjernihkan setiap permasalahan.


Sebagai contoh masalah ini, Seorang isteri tidak mengambil berat tentang keperluan batin suami sehingga menjangkau setahun dan kerap mengelak ajakan untuk bersama dengan pelbagai alasan serta tidak mempeduli nasihat suami dan tidak menjaga ibadat kepada Allah SWT. Jika isteri bersikap seperti itu, adakah wajib bagi suami untuk memberi nafkah kepada isteri.



Nafkah Dan Tanggungjawab Suami Isteri

Nafkah adalah pembelajaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/274)

Terdapat pelbagai Nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, Firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
(Surah al-Talaq, 7)

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini seperti mana firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
(Surah al-Baqarah 233)

Syarat Wajib Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri

Nafkah disyaratkan ke atas suami sekiranya isteri memenuhi syarat yang ditetapkan. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji telah membahagikan kepada dua syarat iaitu:

Isteri merelakan dirinya untuk bermesra (istimta’), bersetubuh dalam keadaan yang dibenarkan syara’. Dan sekiranya isteri menolak walaupun sedikit, maka suami tidak wajib memberi nafkah kepada isterinya.

Isteri ikut tinggal dirumah yang dipilih oleh suaminya. Dan isteri wajib tinggal di dalamnya melainkan tempat tinggal itu tidak sesuai untuk didiami dari sudut syara’.

Jika kesemua syarat itu dipenuhi, maka wajib bagi suami untuk memberi setiap nafkah yang diperlukan oleh isteri.
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 4/181-182)



Nusyuz

Dr. Muhammad Zuhaili mentakrifkan Nusyuz bermaksud derhaka. Dan nusyuz seseorang perempuan ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya yang diwajibkan oleh Allah SWT. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90)

Firman Allah SWT:

اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).
(Surah al-Nisa’: 34)

Cara Mengatasi Nusyuz

Apabila terdapat tanda-tanda Nusyuz daripada seseorang seperti ia bersikap kurang enak dan bermasam muka. Atau pun seseorang isteri mengeluarkan kata-kata kesat kepada suaminya. Maka di dalam al-Fiqh al-Manhaji mengajar cara mengatasinya dengan:

• Suami sunat menasihati dengan berdasarkan kitab Allah SWT serta mengingatkan tanggungjawab yang diwajibkan Allah SWT ke atasnya berkenaan dengan pergaulan mesra serta sanjung martabat suami. Dan menasihati tentang kemurkaan Allah SWT serta balasannya.

• Dan sekiranya masih tidak berubah, suami hendaklah mengasingkan dan meninggalkannya bersendirian di tempat tidur. Perbuatan ini sungguh berkesan untuk mendidiknya.

• Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.

• Jika perselisihan masih tidak mampu diselesaikan maka ia hendaklah dibawa kepada hakim. Hakim hendaklah melantik orang tengah yang beragama Islam dan adil. Dan orang tengah itu hendaklah berusaha sedaya upaya mendamaikan suami isteri tersebut. (lihat: al-Fiqh al-Manhaji 107-108)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas dan nas yang diberikan, perbuatan seorang isteri tersebut kepada suaminya tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana tanggungjawab seorang isteri adalah melayan suaminya dengan baik serta memenuhi tuntutan suaminya.

Oleh itu, suami dan isteri seharusnya berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baik. Sekiranya isteri masih tidak berubah, maka suami boleh lakukan apa yang disarankan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).
(Surah al-Nisa’: 34)

Menasihatinya secara berhikmah dengan tutur kata yang baik, kasih sayang dan berniat untuk dia menjadi lebih baik.
Jika masih juga tidak berhasil, suami boleh untuk mengasingkan tempat tidurdaripada isterinya tersebut.

Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakandengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.

Oleh itu, suami tidak diwajibkan untuk memberi nafkah sekiranya isteri tidak melakukan tanggungjawabnya kepada suami serta berkelakuan nusyuz. Namun sebaiknya, perkara ini dibawa kepada pihak yang berautoriti untuk menjalankan proses sulh yang terdapat didalam undang-undang keluarga islam di negeri-negeri. Ini bertujuan mengadakan perjanjian damai serta menyelsaikan perselisihan di antara suami dan isteri.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen