15 Kunci Utama Anda Perlu Sedia Supaya Perkahwinan ‘Till Jannah’.

Oleh: Rafi

Perkahwinan adalah suatu ikatan yang teguh antara lelaki dan perempuan melalui suatu akad nikah yang sah untuk menjalani kehidupan berumah tangga sebagai suami isteri. Rumah tangga yang dibina ini, bukanlah bererti dunia ini hanya untuk kau dan aku semata-mata. Tapi banyak benda yang perlu diambil kira. Berikut 15 perkara yang perlu di ambil kira:



1. Kewangan.

Bagi isteri, “Duit suami duit saya, duit saya duit saya.” Dan, fakta itu suami perlu akui dan jangan persoalkan. Untuk mengelakkan hal sebegini, sebaik-baiknya anda dan suami perlu membuat pengaturan kewangan yang lebih fleksibel iaitu daripada hasil kesepakatan bersama.

2. Rumah.

Jangan habiskan semua duit untuk belanja kahwin dan bercuti semata-mata. Tinggalkan sedikit untuk buat deposit rumah sama ada menyewa atau beli. Tidak perlu rumah sebesar banglo mahupun kondiminium, cukuplah kediaman yang selesa pasti membuatkan anda berdua lebih sempurna. Jika menyewa, carilah yang mampu untuk dibayar setiap bulan.

3. Jadual/ masa.

Hidup berdua tidak boleh lagi buat aktiviti seperti zaman bujang. Pulang ke rumah sesuka hati. Jangan jadikan rumah seperti hotel semata-mata, sedangkan masa banyak dihabiskan di luar rumah, melepak dengan kawan-kawan.



4. Kerjaya.

Fahami kerjaya pasangan sebelum berkahwin lagi supaya anda tidak tertipu dan mengharapkan sesuatu yang tidak nyata. Ada tuntutan kerja pasangan yang memakan masa hingga larut malam/awal pagi, ada pula yang bosnya mengganggu sampai ke rumah. Jadi, apabila berkahwin dengan pasangan, ‘nikahi’ dulu cara kerjanya. Jangan dah kahwin mengungkit pula kerana tak faham dengan kerjayanya.

5. Bakal anak.

Selesai urusan suami isteri, bersedia pula menunggu kemunculan orang ketiga iaitu anak sendiri. Terutamanya, kalau isteri bunting pelamin. Zaman sekarang ini membesarkan anak bukan setakat dua tiga puluh ringgit. Perlu ada kos untuk perbelanjaan bersalin, susu, lampin, menghantar anak ke taska, insurans, pendidikan dan sebagainya. Jadi buatlah simpanan dan persediaan dari awal, jangan jadikan anak itu sebagai bebanan. Dan setiap anak itu ada rezekinya.

6. Akaun bersama.

Antara suami dan isteri tidak perlulah ada menyimpan rahsia perihal duit gaji kerana apabila berkongsi hidup, maka kita harus berkongsi banyak ‘benda’. Jangan sorok-sorokkan setiap duit yang masuk dan keluar supaya pasangan tahu sebesar mana ekonomi rumah tangganya. Kalau banyak, boleh disimpan, kalau sedikit, ada perbelanjaan yang boleh dikurangkan. Sama-sama kena saling membantu.

7. Mertua.

Isu kerap kali yang terjadi pada pasangan baru kahwin. Kalau boleh, elakkan tinggal sebumbung dengan mertua melainkan punya tanggungjawab menjaga orang tua yang sudah uzur. Belajarlah berdikari untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan isteri yang sebenar. Apa pun rentak mertua, jangan derhaka. Banyakkan bersabar dan mengalah. Mereka umpama ibu bapa sendiri juga. Dan kena beringat, suami perlu dahulukan ibunya barulah isteri. Dan keutamaan isteri adalah suaminya.



8. Ipar duai.

Kita juga perlulah ‘taat’ kepada ipar-duai. Maksudnya, jagalah hubungan baik sesama ipar-duai tetapi jangan sampai mereka ‘mengepung’ rumah tangga kita. Berlaku begitu banyak kes suami isteri bergaduh akibat ipar-duai yang suka menjadi duri dalam daging. Buat baik seadanya tetapi adakan juga kubu pertahanan. Suami atau isteri perlu saling bertoleransi dan sedia mendengar apa jua masalah pasangan terhadap keluarga dan perjelaskan. Jangan biarkan pasangan memendam perasaan.

9. Tarikh-tarikh penting.

Jangan lupa tarikh-tarikh penting pasangan, tidak hanya tarikh lahir dia, tambahkan juga pada kalendar untuk tarikh ulang tahun, tarikh hari jadi ibu bapanya dan lain-lain yang pasangan rasa penting untuk anda sama-sama raikan.

10. Hujung minggu.

Kalau masa bercinta boleh luangkan masa dating sepanjang hari minggu, mengapa selepas kahwin pula sibuk mahu buat kerja lebih masa atau melepak rumah emak?. Sesekali, luangkan masa bersama beraktiviti bersama. Sudahlah hari biasa jarang berjumpa, pada hari minggulah masanya menghangatkan kembali kemesraan itu.

11. Privasi.

Walau hidup berdua dalam satu bumbung dan segalanya berkongsi, ada suatu ketika anda perlu memberikan sedikit privasi kepada pasangan. Tidak semua elemen dalam kehidupan pasangan perlu diselongkar habis-habisan. Ada ketika, ruang privasi perlu diwujudkan untuk meraikan kehidupan peribadi. Tetapi jangan ambil kesempatan cari makan luar pula ya.



12. Bila berjauhan.

Bukanlah sekadar pasangan keluar outstation, jika sekadar berjauhan beberapa jam ke tempat kerja pun, dikira berjauhan secara fizikalnya. Jadi, dekatkan jiwa dengan saling mengirimkan pesanan; SMS, WhatsApp, Wechat e-mel dan sebagainya. Sekurang-kurangnya sekali kiriman untuk bertanyakan sudah makankah? Atau pulang jam berapa? Atau usik-usik nakal. Jangan sibuk dengan group chat sahaja atau mengadap sosial media.

13. Cemburu.

Dalam hubungan perlu ada asam dan garam, baru sedap rasanya! Pasangan perlu ada sedikit perasaan cemburu. Jangan terlalu ‘bebaskan’ pasangan sehingga tidak kisah apa pun yang dia lakukan. Namun, berhati-hati, jangan cemburu pada ‘skandal’ yang tidak wujud. Asam dan garam yang terlalu banyak pun tidak bagus; mampu membunuh!

14. Komunikasi.

Menghadirkan seni komunikasi yang sihat di antara kedua-dua belah pihak akan mampu memupuk dan menyemai rasa cinta agar terus subur dalam kerukunan, keharmonian dan kebahagiaan yang berpanjangan. Walaupun komunikasi tidak hanya terhad kepada pertuturan atau aspek komunikasi lisan sahaja tetapi ini ditekankan kerana salah faham paling kerap berlaku akibat bicara yang kurang berkesan.

15. Keseimbangan.

Dalam hidup ini, kalau ada keseimbangan pasti lancar semuanya. Ramai pasangan meletakkan keluarga nombor satu, benar! Namun, jangan terkongkong dengan falsafah itu sehingga mengambil mudah perkara lain. Ada yang terlalu mengejar kerjaya sampai mengabaikan keluarga sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga. Dan, jangan lupa ada juga kes apabila pasangan mementingkan keluarga sahaja sehingga mengabaikan pekerjaannya dan akhirnya diberhentikan, tetap perceraian berlaku apabila ekonomi keluarga goyah. Ingat, seimbangkan semua aspek agar keharmonian tercapai dalam syurga duniamu itu.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen