Dilahirkan Tanpa Rahim, Mampukah Insan Istimewa Ini Bahagia Seperti Insan Lain?

Oleh: Zuzu Yasmine

Kadang kala ujian datang tanpa diduga. Malah ada juga yang sejak lahir telah diduga. Yang mana kah kita? Setiap yang berlaku tentu sahaja ada hikmah disebaliknya. Boleh jadi kurangnya kita itu menjadi satu kekuatan buat diri sendiri.

Percaya pada apa yang telah Allah aturkan buat kalian, itu adalah lebih baik dari terus menerus menyalah diri dan berfikiran negatif. Setiap insan tiada yang sempurna, mungkin kurang anda di situ, tetapi lebih anda lebih dari sesiapa pun.


Tertarik dengan laporan Harian Metro baru-baru ini, yang telah mendiskusikan isu mengenai "wanita tanpa rahim, menjadi mangsa lelaki miang untuk melampiaskan nafsu".

Wanita tanpa rahim atau terma di dalam perubatan Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH), menjadi mangsa lelaki gila seks yang tanpa segan silu mendekati kumpulan sokongan pesakit MRKH Malaysia bagi mencari ‘isteri’ untuk bermalam.

Pesakit MRKH ini menjadi sasaran kerana mereka dilahirkan tanpa rahim, sekali gus dianggap sebagai pilihan terbaik untuk aktiviti seks tanpa perlindungan kerana lelaki gila dan tidak bermoral itu tahu golongan ini tidak berisiko untuk hamil.

Hijab & Heels ingin mengupas bagaimana sindrom MRKH ini boleh terjadi, siapa yang berisiko dan bagaimana masa depan mereka yang mengalaminya.

Apa itu sindrom MRKH?

Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) ini dinamakan bersempena nama empat doktor yang pertama kali menjumpai keadaan ini.

MRKH adalah sindrom yang jarang terjadi, ditemui pada wanita yang dilahirkan tanpa rahim (uterus), tidak seperti kebanyakan wanita lain dan mereka ini juga dianggap istimewa.

Sindrom ini terjadi pada sistem peranakan wanita. Ianya adalah kongenital – bermakna ianya sudah berlaku sebelum lahir lagi. Keadaan ini menyebabkan faraj dan rahim tidak berkembang atau pun tiada, walaupun luarannya nampak seperti wanita normal.

Akibat daripada ketiadaan rahim, wanita yang mengalami sindrom MRKH ini biasanya tidak mengalami menstruasi atau datang haid.

Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, melalui perkongsian di laman sosialnya menulis wanita yang dilanda masalah ini selalunya akan berjumpa doktor selepas menyedari tidak datang haid yang pertama walaupun sudah berusia 16 tahun.

Berdasarkan kajian perubatan yang dilakukan, satu daripada 5000 wanita mengalami sindrom MRKH. Oleh kerana itu, ia dianggap sebagai sindrom atau masalah terpencil ekoran jarang berlaku.



Foto: Association MRKH

Sindrom MRKH terbahagi kepada 2 jenis

Apabila sistem peranakan sahaja terganggu, ia dipanggil sebagai Sindrom MRKH jenis 1. Kadang-kala perempuan yang mempunyai sindrom MRKH akan ada ketidaknormalan pada sistem badan yang lain, masalah ini dirujuk sebagai sindrom MRKH jenis 2.

Dalam keadaan ini, buah pinggang mungkin terbentuk secara tidak normal atau tempatnya luar dari yang sepatutnya atau salah satu buah pinggang tidak terbentuk. Wanita ini juga mungkin mengalami masalah pada rangka, tulang belakang dan ada yang mempunyai masalah pendengaran dan juga masalah jantung.

Sebarang gejala untuk mengesan sindrom MRKH ini?

Wanita dengan sindrom MRKH ini mempunyai genetik seperti wanita biasa iaitu kromosom (46, XX) dan sepasang ovari yang berfungsi secara normal.

Biasanya sindrom ini hanya dapat dikesan apabila usia seorang gadis menginjak 15 atau 16 tahun. Pastinya anak gadis tertanya-tanya mengapa mereka belum datang haid seperti teman-teman yang lainnya.

Kemusykilan seperti inilah yang membuatkan ibu bapa terpanggil untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan lanjut.

Menyukarkan sindrom ini untuk dikesan, ia tidak menunjukkan ciri-ciri yang mencurigakan. Seorang anak gadis tidak akan merasakan gejala seperti rasa sakit atau perdarahan.

Malah, mereka akan menunjukkan perkembangan payu dara dan bulu pubis yang normal.

Kedah rawatan yang dijalankan doktor?

Terdapat beberapa fasa rawatan antaranya ujian darah untuk memeriksa kondisi kromosom tubuh, apakah normal atau sebaliknya. Diikuti rawatan seterusnya iaitu pemeriksaan ultrasound (USG) atau MRI.

Pemeriksaan itu dilakukan untuk mengesan kewujudan vagina, rahim dan pangkal rahim di dalam tubuh seorang wanita.

Adakah wanita dengan sindrom MRKH berpeluang mempunyai zuriat?

Lazimnya, perempuan yang ada sindrom ini tidak berupaya untuk hamil. Tetapi kajian berjaya membuktikan sebilangan kecil daripadanya berjaya mendapatkan anak melalui kaedah assisted reproduction.

Kaedah ini, biasanya dibuat di luar negara memandangkan Malaysia belum mempunyai kepakaran teknologi atau menemukan kaedah sesuai untuk pemindahan rahim.

Ada juga yang mendapatkan khidmat ibu tumpang untuk memiliki zuriat mahupun mengambil anak angkat.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen