Rasa Badan Kembang Sana Sini, Jangan Risau Warna Hitam Buat Anda Nampak Lebih Kurus.

Oleh: Zuzu Yasmine

Masalah mencari baju yang sesuai buat mereka yang berbadan gempal ini memang tidak asing lagi. Bukan itu sahaja, nak ambil gambar pun ada sahaja angle yang tak kena. Ambil angle ini nampak sini yang kembang, sini pula nampak bonjol. Aduh.... semua tak lawa dan kurangkan keyakinan betul lah.

Tapi jangan risau, walaupun berbadan besar tetapi pemilihan warna dan corak yang tepat buat diri anda tentu sahaja akan buat anda kelihatan kurus sedikit. Haaa, seronokkan tak payah susah diet tukar cara pemilihan baju je dah nampak kurus.

Ya, warna yang paling sesuai adalah warna hitam. Kata orang, hitam itu menawan. Ya, ia adalah kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi.



Hitam adalah warna yang paling mudah dan sesuai dikenakan sebagai pakaian untuk semua orang. Tidak kira anda berkulit cerah atau berkulit gelap, ia boleh menjadi warna kegemaran mana-mana individu ekoran impak dan ilusinya terhadap penampilan anda.

Bukan sahaja ia akan membuat diri anda kelihatan menawan, pakaian dengan warna ini turut memberikan satu imej yang ‘kelas’ dan ‘elegan’ buat pemakainya.

Dalam pada itu, warna ini juga sebenarnya sangat senang dipadankan dengan pelbagai warna yang lain untuk dipakai bersama atau dijadikan aksesori.

Tapi, adakah benar ia boleh menjadikan seseorang itu kelihatan kurus?

Warna hitam boleh buat anda nampak kurus?

Menurut Emily Keller yang merupakan seorang pereka fesyen berpengalaman dari Amerika Syarikat, memakai pakaian berwarna gelap seperti hitam tidak akan buat anda jadi kurus, tapi mungkin boleh membuat seseorang itu nampak lebih kurus.

Sebabnya, warna ini mempunyai keupayaan untuk menyorokkan sebarang gangguan visual. Mata individu yang memandang anda akan teralih dari apa-apa gangguan visual pada tubuh badan anda akibat daripada kesan memakai pakaian warna ini.

Buat anda yang tertanya-tanya, berikut adalah gangguan visual yang diperkatakan:

Fizikal tubuh badan – lipatan lemak, ketulan atau benjolan pada kulit, selulit atau apa-apa sahaja kekurangan yang terdapat pada tubuh badan

Pakaian – benang longgar, butang baju senget, hujung baju tidak simetri, jahitan tidak kemas atau apa-apa sahaja kekurangan yang terdapat pada pakaian

Garis pakaian dalam – baju dalam, seluar dalam, inner, legging yang tersembul keluar pada pakaian di luar

Kotoran – peluh, makanan, minuman atau sebarang kekotoran yang terpalit pada pakaian

Dalam erti kata yang lain, warna hitam boleh menyorokkan sebarang gangguan visual yang diperkatakan di atas, termasuklah bentuk tubuh badan anda. Kesannya, anda mungkin akan kelihatan ‘slim’ di mata orang yang memandang, Seakan magis, bukan?



Apa kata sains?

Persoalannya, bagaimana kepercayaan ini sebenarnya bermula?

Untuk pengetahuan anda, segalanya bermula sejak zaman Galileo Galilei lagi. Dikatakan, ahli sains terulung ini adalah orang pertama yang mempersoalkan mengapa planet Zuhrah tampak lebih besar berbanding planet Musytari, sedangkan Musytari adalah 4 kali ganda jauh lebih besar dari Zuhrah.

Dari sinilah bermulanya teori warna memainkan peranan dalam penampilan sesuatu perkara. Kemudian pada tahun 1867, Hermann Von Helmholtz telah mengukuhkan lagi teori ini dengan menggunakan gambar segi empat sama yang berbeza warna sebagai subjek kajian.

Beliau mendapati bahawa segi empat yang mempunyai warna putih dengan latar belakang hitam akan tampak lebih besar berbanding segi empat sama yang mempunyai warna hitam dengan latar belakang putih, walaupun kedua-duanya mempunyai saiz yang sama!



Apa sebabnya, ya?

Menurut kajian yang dilakukan oleh State University of New York, ini semua mempunyai kaitan dengan cara mata kita melihat sesuatu perkara berdasarkan warnanya. Neuron yang terdapat dalam otak kita sering kali akan memperbesarkan rangsangan cahaya yang masuk ke dalam mata kita.

Dalam erti kata yang lebih mudah, warna yang terang akan nampak lebih besar dan warna yang gelap akan kelihatan lebih kecil.

Jadi, jika anda merupakan seorang yang berbadan kecil, mengenakan pakaian yang berwarna terang mungkin akan menampakkan anda sedikit berisi. Namun, jika bentuk tubuh badan anda sedikit gemuk, sila pakai pakaian yang berwarna gelap agar anda tampak lebih ‘slim’, okay?




Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen