Agak sukar nak bangun pagi sejak akhir-akhri ini bukan? Mana tidaknya, waktu malam berjaga dan siang pula anda saat anda tidur dengan lenanya. Eh, tapi ada yang sanggup bangun pagi untuk bersenam walaupun sekadar 10 minit. Tahniah buat anda!
Selalunya ramai orang yang memilih untuk bersenam selepas mengambil sarapan, ini kerana dikatakan lebih bertenaga dan juga lebih elok.
Tapi ada juga yang menyatakan bahawa bersenam awal pagi dengan perut kosong juga elok. Jadi mana yang baik untuk tubuh badan kita?
Menurut kajian baru yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology and Metabolism mendapati mengubah masa bersarapan dan bersenam boleh membantu mengawal paras gula dalam darah pada tahap yang lebih baik.
Menurut salah seorang penyelidik dari University of Birmingham, Dr Gareth Wallis, “Penyelidikan ini mencadangkan bahawa melakukan senaman selepas tidak makan semalaman boleh meningkatkan manfaat kesihatan senaman individu tanpa mengubah intensiti, tempoh atau persepsi ketika bersenam.”
Kajian enam minggu
Kajian enam minggu ini dilakukan penyelidik dari University of Bath dan University of Birmingham melibatkan 30 peserta lelaki yang diklasifikasikan sebagai obes atau mempunyai berat badan berlebihan.
Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, intervensi iaitu mereka yang makan sarapan sebelum / selepas bersenam dan kumpulan kawalan yang tidak mengubah gaya hidup. Hasil analisis mendapati individu yang bersenam sebelum breakfast akan membakar dua kali lebih banyak lemak berbanding kumpulan yang bersenam selepas breakfast.
Manakala sampel tisu otot yang diambil menunjukkan, otot bagi individu dalam kumpulan yang bersenam sebelum breakfast adalah lebih responsif kepada insulin berbanding kumpulan yang bersenam selepas bersarapan.
Membakar lemak lebih efektif
Penyelidik melihat peningkatan lemak yang digunakan kerana kekurangan tahap insulin ketika bersenam apabila individu tidak makan sepanjang malam. Ini bermakna mereka akan menggunakan lemak daripada tisu lemak dan lemak antara otot untuk memberikan tenaga.
Walaupun kajian tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam berat badan sepanjang tempoh enam minggu kajian, tetapi ia membuktikan kesan positif kepada kesihatan. Dalam erti kata lain, badan dalam bertindak balas dengan lebih baik kepada insulin dan memastikan tahap gula dalam darah berada dalam kawalan. Keadaan ini sekali gus dalam mengurangkan risiko untuk mengalami diabetes dan penyakit jantung.
Penyelidik dari Jabatan Kesihatan di University of Bath, Dr Javier Gonzalez menjelaskan, “Keputusan kajian menunjukkan mengubah masa bersarapan mempunyai hubung kait dengan masa anda bersenam. Situasi ini dapat membawa perubahan mendalam dan positif kepada kesihatan secara keseluruhan. Individu terlibat dalam kajian yang bersenam sebelum breakfast membakar dua kali ganda jumlah lemak berbanding individu yang bersenam selepas makan pagi.”
Mengikut kesesuaian
Teruja bukan dapat mengetahui yang bersenam sebelum breakfast juga memberikan manfaat kepada kesihatan. Tetapi harus diingatkan, individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan insulin atau tahap gula dalam darah, dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan daripada pakar kesihatan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang perubahan dalam pengambilan tempoh hidangan makanan.
Dah tahu cara yang terbaik bukan? Selamat bersenam!
Tinggalkan Komen