Simbolik Pemberian Bunga Telur.

Oleh: Rafi

Tetamu yang menghadiri sesebuah majlis perkahwinan akan berasa dihargai apabila menerima telur sebagai berkat apalagi jika mereka diberi bunga telur yang dicucuk pada pahar yang menghiasi kiri kanan pelamin kerana pemberian terbabit dianggap lebih istimewa. Bagaimanapun, tradisi berkenaan kian dipinggirkan dan tidak lagi menjadi pilihan utama pada sesebuah majlis perkahwinan masyarakat Melayu apabila ia ditukar ganti dengan kek, gula-gula, potpuri, sapu tangan dan selendang sebagai pengganti telur. Pemberian bunga telur pada majlis perkahwinan orang Melayu dikatakan sebagai simbol kesuburan. Tetamu yang menerima bunga telur, diharapkan akan bersama-sama mendoakan pasangan pengantin supaya dikurniakan zuriat, memandangkan kehidupan manusia bermula daripada persenyawaan benih telur. Kira-kira sedekad yang lalu, majlis kenduri kahwin masih mengutamakan tradisi membeli beratus-ratus telur ayam untuk direbus di dalam periuk besar dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas untuk diagihkan kepada tetamu.



Acara merebus telur ini juga ditetapkan sekurang-kurangnya sehari sebelum majlis kenduri kahwin. Anggota keluarga, jiran dan kawan-kawan bakal pengantin akan duduk beramai-ramai bergotong-royong mengisi telur ke dalam bekas. Sebanyak 90 hingga 150 biji telur rebus biasanya akan diasingkan untuk dipasang pada bunga telur bertangkai yang disusun menjadi bunga pahar yang akan diletakkan di sebelah kiri dan kanan pelamin. Sepohon bunga pahar lagi akan mengiringi barang hantaran untuk pasangan mempelai pada hari bertandang. Bunga telur bertangkai ini dicucuk pada pulut kuning sebagai lambang kesyukuran dan tradisi menyediakan bunga pahar pada pelamin masih diteruskan sekarang. Bunga telur bertangkai ini jika dikumpul boleh menjadi jambangan bunga berwarna-warni untuk menghiasi meja. Namun, dalam perkahwinan masyarakat Melayu pada abad ini, pemberian bunga telur sebagai hadiah kepada tetamu tidak lagi diamalkan. Bunga telur akan dihias menjadi bunga pahar yang diletakkan di sudut pelamin, setiap tangkai akan diberikan kepada tetamu atau kaum keluarga yang menepung tawar pengantin dan juga sebagai pemberian kepada saudara terdekat.



Penyeri Hiasan Pelamin.

Di samping fungsinya sebagai lambang kesuburan dan tanda terima kasih, bunga telur turut dijadikan penyeri pentas pelamin. Lazimnya, joran bunga telur dicacakkan penuh pada batang pisang sehingga menampakkannya seperti pohon bunga yang menarik. Pohon bunga telur akan diletakkan di antara kerusi mempelai atau di kiri dan di kanan mempelai atau di kiri dan di kanan tangga pelamin. Selain menjadi penghias pelamin, bunga telur diagihkan kepada tetamu sebelah pihak apabila mereka selesai menepung tawar. Oleh sebab itulah bunga telur dibuat seindah mungkin kerana dijadikan buah tangan untuk pihak pelawat. Namun, pemberian bunga telur tidak terhad kepada pihak pelawat sahaja. Sesiapa sahaja yang dijemput untuk menepung tawar, termasuk pihak tuan rumah, akan menerimanya. Peredaran zaman turut memaksa perubahan fungsi dan rupa bentuk bunga telur. Hari ini, bunga telur dibuat mengikut trend bunga yang ada. Ada yang membuatnya dengan menggunakan kain, plastik dan reben. Kini ada juga yang menggantikan telur dengan gula-gula atau coklat.



Cerminan Budaya Masyarakat Melayu.

Bunga telur berjoran dianggap sebagai simbolik berbanding dengan bunga telur beraga yang diberi kepada semua tetamu kerana bunga telur jenis ini mempunyai fungsi yang pelbagai sebelum dijadikan cenderamata pada upacara merenjis dan menepung tawar mempelai. Pembikinan bunga telur berjoran dibuat lebih awal dari tarikh majlis. Mengikut tradisi lama, telur akan direbus dengan air berwarna, lazimnya merah, untuk memberi seri kepada telur. Untuk menyediakan joran bunga telur, buluh dan kertas air perada berbunga awan larat dan kertas warna diperlukan. Buluh ini akan diraut menjadi lidi sebelum dibalut dengan kertas warna. Bahagian puncak joran dihiasi dengan gubahan bunga yang cantik. Antara joran dengan tampuk bunga, ada kertas air perada. Telur rebus digantung pada joran seumpama buah pada bunga. Tradisinya, bunga telur berjoran dipacakkan di atas pulut kuning yang dibentuk seperti gunung sebagai tapak bunga telur.

Kreativiti seni dalam pembuatan bunga telur mencerminkan aspek kehidupan orang Melayu. Jika telur melambangkan kesuburan, bunga yang kembang mekar di puncak joran membawa pengertian ketulusan dan kejujuran tuan rumah menerima tetamu yang datang memeriahkan majlisnya. Majlis perkahwinan pasti diharap membuahkan hasil dan inilah yang disimbolikkan dengan telur. Telur juga turut melambangkan keindahan dan kemeriahan majlis.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen