Wanita Yang Tak Pernah Hamil Antara Berisiko Dapat Kanser Rahim. Ini 7 Golongan Lain.

Oleh: Zuzu Yasmine

Kesihatan tubuh badan adalah perkara yang sangat bernilai. Kesihatan yang baik adalah rezeki yang sangat benilai bagi setiap insan. Sebab itu, peka akan kesihatan diri sendiri adalah sangat penting. Nak-nak lagi penyakit yang anda tidak nampak lukanya, tetapi berasa sakit dan sedikit aneh.

Jangan hanya membuat andaian sendiri, tetapi lebih baik anda membuat pemeriksaan jika terhadap sesuatu yang tidak kena pada diri anda. Kesedaran mendapatkan rawatan bagi penyakit kanser seperti kanser payudara dan kanser rahim mungkin agak tinggi di negara ini.



Namun kebiasaannya, mereka yang datang mendapatkan rawatan mungkin sudah berada pada tahap yang sedikit lewat. Sangat membimbangkan sebenarnya kerana anda boleh mendapatkan rawatan diperingkat awal.

Sebagai seorang wanita, adakah anda tahu apakah tanda kanser rahim dan faktor risiko yang menyebabkan anda mengalaminya?

Apa itu kanser rahim?

Kanser rahim adalah sejenis kanser yang bermula pada bahagian dinding dalam rahim seorang wanita. Dinding dalam rahim ini disebut sebagai endometrium.

Berdasarkan data daripada National Cancer Institute, dianggarkan setiap 3 daripada 100 orang wanita didiagnosis mempunyai kanser rahim ini.

Pada kebiasaannya, kanser rahim ini akan dikesan pada peringkat awal memandangkan ia biasanya akan menyebabkan pendarahan tidak normal pada faraj yang kerap berlaku.

Tanda-tanda kanser rahim

1. Pendarahan faraj yang tidak normal, tompok darah atau keluarnya cairan lain

Sekitar 90% daripada wanita yang mengalami kanser rahim mempunyai tanda kanser rahim yang satu ini iaitu pendarahan pada faraj yang tidak normal. Ia juga akan membuatkan haid menjadi tidak teratur, adanya pendarahan antara dua tempoh haid wanita, atau pendarahan setelah menopaus.

Adakalanya, akan keluar lendiran atau cecair daripada faraj yang tidak mengandungi darah. Jika wujud keadaan seperti ini, ia juga mungkin satu tanda kanser rahim. Walaupun tiada darah yang keluar bersama cecair tersebut, ia tidak bermakna anda tidak mempunyai tanda kanser rahim.

Oleh sebab itu, sebarang lendiran, cecair, apatah lagi darah yang keluar secara tidak normal perlu diperiksa oleh doktor untuk memastikan ia adalah tanda kanser atau tidak.



2. Sakit pada bahagian pelvis, rasa mempunyai ketulan atau turun berat badan

Antara tanda kanser rahim lain yang mungkin juga berlaku ialah kesakitan pada bahagian tulang pelvis, rasa seperti ada ketulan yang tidak normal atau hilang berat badan tanpa sebab yang jelas.

Pada kebiasaannya, tanda kanser rahim ini akan muncul bagi pesakit kanser rahim yang berada pada tahap atau peringkat yang lebih lewat.

Walau bagaimanapun, ia bukan alasan untuk pesakit kanser rahim ini mengabaikan tindakan untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Jika tidak, kanser ini akan menjadi semakin merebak dan parah.

Faktor risiko yang boleh menyebabkan berlakunya kanser rahim

1. Ketidakseimbangan hormon wanita

Ovari menghasilkan 2 jenis hormon wanita yang paling utama iaitu estrogen dan juga progesterone.

Apabila berlakunya turun naik kedua-dua hormon ini dalam tubuh wanita, ia akan menyebabkan perubahan pada endometrium rahim.

Sesetengah keadaan kesihatan yang menaikkan jumlah estrogen tetapi tidak menaikkan jumlah progesterone, maka tubuh anda akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser rahim.

2. Mempunyai tempoh haid yang lebih panjang

Ia khusus bagi mereka yang mula datang haid sebelum berumur 12 tahun atau lewat mengalami menopaus.

Tempoh haid yang lebih panjang seperti ini juga meningkatkan risiko seseorang wanita itu untuk mendapat kanser rahim.

Semakin panjang tempoh haid yang dimiliki, maka semakin besar risikonya untuk mendapat kanser ini.



3. Tidak pernah hamil

Sekiranya seseorang wanita itu tidak pernah hamil, maka dia akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser ini berbanding wanita lain yang pernah hamil walaupun sekali seumur hidup.

4. Lanjut usia

Semakin berusia seseorang wanita itu, maka semakin besar risiko mereka untuk mendapat kanser rahim. Kanser ini sering berlaku selepas fasa menopaus.

5. Obesiti atau berlebihan berat badan

Jika seseorang wanita itu mempunyai berat badan yang berlebihan, maka dia juga berpotensi tinggi untuk mendapat kanser ini.

Ini mungkin disebabkan oleh lemak badan yang berlebihan bertindak mengubah keseimbangan hormon dalam tubuh.



6. Terapi hormon untuk kanser payudara

Jika seseorang wanita itu ada mengambil ubat tamoxifen sebagai terapi hormon untuk merawat kanser payudara, ia juga boleh meningkatkan risiko dirinya untuk menjadi pesakit kanser rahim.

Jika anda ada mengambil ubat jenis ini, berbincanglah dengan doktor anda mengenai kesan sampingan pengambilannya.

7. Mempunyai sindrom kanser kolon yang diwarisi

Sindrom Lynch, atau juga disebut sebagai kanser kolorektal nonpolyposis keturunan (HNPCC), adalah sindrom yang boleh meningkatkan risiko seseorang wanita itu untuk mendapat kanser kolon dan juga kanser-kanser lain.
Ini termasuklah juga kanser rahim.

Sekiranya ada ahli keluarga anda yang pernah didiagnosis mempunyai sindrom Lynch ini, ada kemungkinan juga untuk anda mengalami kanser, termasuklah kanser rahim.

Bagi pesakit kanser rahim, anda disarankan untuk pergi berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan sekiranya anda mempunyai tanda kanser rahim seperti yang disebutkan di atas.

Jika terdapat sebarang cecair berdarah mahupun tidak berdarah yang keluar secara tidak normal dari faraj anda, lakukan pemeriksaan dengan segera di hospital.




Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen