Rupanya Jika Berlaku Kematian Suami, Hanya Isteri Saja Yang Boleh Menuntut Hak Harta Sepencarian.

Oleh: Zuzu Yasmine

Ramai yang keliru, ramai juga yang tidak yakin. Malah ramai juga yang takut-takut nak bertanya mengenai harta pusaka ini. Mana tidaknya nanti akan ada yang salah faham dan juga mula tuduh anda tamakkan harta. Itu yang ramai malas ambil pusing.

Buat yang bingung macam ini, mari sama-sama kita fahami berdasarkan perkongsian dari Peguam Syarie Roslina Sabiyah.



HARTA SEPENCARIAN (HS)

Proses ini boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja.

Boleh dituntut dalam 3 keadaan. Setiap keadaan prosesnya berbeza.



1. HS yang dituntut akibat perceraian:

Pihak yang akan jadi plaintif dan defendan adalah pasangan suami isteri yang bercerai sahaja tanpa melibatkan orang lain.

Jika terbukti memang harta tersebut diperolehi dalam tempoh perkahwinan, harta tersebut memang boleh diisytihar sebagai HS.

Isu yang timbul hanyalah melibatkan berapa bahagian setiap orang akan dapat. Contohnya, jika ada bukti sumbangan akan dapat 50%, jika tiada bukti sumbangan (surirumah/sumbangan tak langsung) akan dapat juga 30%. Portion HS tu Mahkamah yang akan tentukan selepas mendengar keterangan kedua-dua belah pihak.

Kalau terbukti, harta tu diperolehi sebelum perkahwinan dan tiada bukti sumbangan untuk mengembangkan harta tersebut oleh pasangan yang menuntut, maka pasangan tersebut tidak berhak ke atas harta sepencarian tersebut.



2. HS yang dituntut akibat poligami:

Biasanya yang tuntut HS adalah isteri pertama dan suami akan jadi defendan.

Boleh dituntut semasa suami failkan permohonan poligami di mahkamah ataupun pada bila-bila masa sahaja selepas isteri pertama mengetahui yang suaminya berkahwin poligami.

Hanya boleh tuntut terhadap harta yang diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan dengan isteri pertama tersebut.

Mahkamah akan tentukan portion HS berdasarkan keterangan dan bukti-bukti oleh kedua-dua belah pihak.



3. HS yang dituntut akibat kematian:

Proses ini yang paling rumit sekali.

Hanya pasangan kepada si mati sahaja yang boleh menuntut (anak, ibubapa, adik-beradik kepada si mati tak boleh tuntut harta sepencarian).

Balu tersebut perlu memohon sijil faraid di mahkamah syariah terlebih dahulu untuk memastikan siapa waris-waris si mati kerana harta tersebut dah jadi harta pusaka.

Balu si mati akan jadi plaintif dan semua waris-waris faraid si mati akan dinamakan sebagai defendan.

Permohonan faraid dan harta sepencarian tersebut perlu diserahkan kepada semua waris-waris si mati supaya proses permohonan pusaka akan jadi telus dan waris-waris maklum dengan permohonan tersebut.

Waris-waris dipanggil ke mahkamah bukannya untuk dapatkan kebenaran mereka sebab balu tu memang akan dapat juga hak ke atas harta sepencarian tu melainkan prosedur tersebut hanyalah untuk memaklumkan kepada waris-waris supaya tidak timbul isu di kemudian hari.

Jadi jangan pelik jika ada balu yang saman mak ayah mertua atau adik-beradik si mati di mahkamah. Itu hanyalah prosedur biasa dalam permohonan faraid dan harta sepencarian selepas kematian.

Biasanya balu boleh dapat portion 50% daripada harta yang dituntut dan baki 50% lagi barulah akan difaraid kepada semua waris-waris si mati termasuklah balu tu pun akan dapat bahagian faraidnya juga.



Salah faham tentang permohonan faraid dan harta sepencarian:

1. Faraid tak akan dapat secara automatik. Perlu dapatkan pengesahan waris-waris dari Mahkamah Syariah supaya tidak ada waris-waris yang sepatutnya berhak tetapi ditinggalkan. Memang banyak berlaku penyembunyian waris. Kalau ada unsur penipuan, sijil faraid tersebut boleh dimohon untuk dibatalkan.

2. Begitu juga harta sepencarian tidak akan dapat secara automatik. KECUALI, jika pembahagian harta pusaka adalah secara muafakat. Waris-waris setuju nak tolak bahagian harta sepencarian dulu kepada balu maka tak perlulah sampai kena mohon ke mahkamah. Tapi kalau ada pertikaian dan tak ada persetujuan, balu tersebut perlu failkan permohonan untuk dapatkan PERINTAH mahkamah terhadap bahagian harta sepencarian.

Kontroversi dan pertelingkahan boleh dielakkan dengan adanya ilmu. Biar tahu jangan keliru.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen