Baik lelaki atau perempuan, kedua-duanya ada batas aurat yang perlu dijaga. Aurat lelaki dengan lelaki dan lelaki dengan perempuan yang ajnabi ialah antara pusat dan lutut. Sebaik-baiknya hendaklah menutup anggota tubuh badan supaya nampak lebih sopan.
Manakala aurat perempuan dengan perempuan Islam ialah antara pusat dan lutut manakala aurat perempuan dengan perempuan yang bukan Islam adalah seperti aurat perempuan dengan lelaki yang ajnabi (lelaki yang boleh dikahwini) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Namun, bagaimana pula dengan aurat antara suami isteri?
Ada Ustaz sebut tiada aurat lagi antara suami isteri yaitu tidak haram lagi suami melihat sekelian badan isterinya termasuk faraj. Dan beberapa orang ustaz yang lain juga berkata seperti itu.
Namun ada dengar pula orang kata walau pun suami isteri dilarang melihat farajnya kerana boleh merosakkan mata.

Ini penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus.
Ulamak sepakat bahawa suami isteri tiada aurat antara keduanya dengan makna suami tidak haram melihat semua anggota badan isterinya dan isteri pula tidak haram melihat semua anggota badan suaminya.
Ada pun melihat kepada faraj maka ulamak telah berselisih pada hukumnya yaitu pendapat yang sahih adalah harus dan pendapat yang lain mengatakan makruh.
Telah berkata oleh Imam Ibnu Quddamah :
وَيُبَاحُ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْ الزَّوْجَيْنِ النَّظَرُ إلَى جَمِيعِ بَدَنِ صَاحِبِهِ ، وَلَمْسُهُ ، حَتَّى الْفَرْجِ
وَلِأَنَّ الْفَرْجَ يَحِلُّ لَهُ الِاسْتِمْتَاعُ بِهِ ، فَجَازَ النَّظَرُ إلَيْهِ وَلَمْسُهُ ، كَبَقِيَّةِ الْبَدَنِ
Artinya : “Dan diharuskan bagi setiap seorang dari suami isteri melihat kepada sekelian badan masing-masing dan menyentuhnya sehinggalah kemaluannya.
Dan dari kerana sungguhnya faraj itu halal bersedap-sedap dengannya maka haruslah melihat kepadanya dan menyentuhnya seperti bahagian badan yang lain.” (Kitab Al-Mughni)
Berkata Imam Nawawi :
فصل: ومن تزوج امرأة أو ملك جارية يملك وطأها فله أن ينظر منها إلى غير الفرج وهل يجوز أن ينظر إلى الفرج؟ فيه وجهان: أحدهما لا يجوز لما روي أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "النظر إلى الفرج يورث الطمس" والثاني يجوز وهو الصحيح لأنه يملك الاستمتاع به فجاز له النظر إليه كالفخذ
Artinya : “Ini satu fasal. Dan siapa yang berkahwin akan seorang perempuan atau memiliki hamba perempuan yang halal watinya maka harus baginya melihat daripadanya kepada selain faraj. Dan adakah harus dia melihat kepada farajnya? Maka padanya ada dua pendapat : Salah satunya tidak harus kerana satu riwayat bahawa Nabi saw bersabda : Melihat kepada faraj itu mewarisi buta. Dan pendapat yang kedua harus dan ialah pendapat yang sahih kerana sungguhnya suami memiliki bersedap-sedap dengannya maka harus bagi suami melihat kepadanya sebagaimana paha.” (Kitab Al-Majmu’)
Dan riwayat yang mengatakan melihat faraj itu merosakkan mata itu sanadnya dhaif.
Tersebut pada Kitab Al-Iqna’ ala Abi Syuja’ :
وأما خبر النظر إلى الفرج يورث الطمس أي العمى كما ورد كذلك فرواه ابن حبان وغيره في الضعفاء بل ذكره ابن الجوزي في الموضوعات .
Artinya : “Dan ada pun riwayat bahawa melihat kepada faraj itu mewarisi buta sebagaimana datang seperti demikian itu telah meriwayatkannya oleh Ibnu Hibban dan lainnya dalam kumpulan hadith dhaif bahkan Ibnu Al-Jauzi menyebutnya dalam kumpulan hadith maudhu.”
Dan sebahagian ulamak mengatakan hadith tersebut sanadnya hasan dan menanggung mereka itu atas larangan yang bermaksud makruh.
KESIMPULAN
Suami isteri tidak ada batas aurat yang mesti ditutup dari dilihat oleh keduanya.
Sekalipun pendapat yang sahih harus melihat kepada faraj sebaiknya lihat itu pada ketika perlu sahaja yaitu ketika bersama kerana meraikan pendapat yang memakruhkannya.
wallahua’lam
Tinggalkan Komen