Baik bujang mahupun sudah berkahwin, orang perempuan memang suka pakai cincin. Nak-nak lagi kalau cincin emas, tentunya memang sangat disukai mereka. Tapi lain pula dengan orang lelaki ni, jarang-jarang nak jumpa yang suka pakai cincin ni.
Cincin selain emas bukan saja untuk orang perempuan tetapi ia juga boleh dipakai oleh lelaki. Pemakaian cincin dalam kalangan lelaki merupakan sebuah sunnah. Maka, jika memakainya seseorang itu akan diganjari pahala sunnah.
Jumhur ulama seperti dari kalangan Mazhab Syafi’e menyebut bahawa pemakaian cincin yang diganjari pahala sunnah adalah apabila ia dipakai dengan mempunyai tujuan tertentu.
Sebagai contoh, buat mereka yang ditugaskan sebagai pemimpin atau qadhi. Namun, untuk yang tiada tujuan terhadap cincin, maka lebih baik untuk tidak dipakainya.
Hal ini juga adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA:
Maksud: “Tatkala Nabi ingin menulis surat kepada orang Rom, beliau telah diberitahu bahawa mereka tidak akan membaca mana-mana surat melainkan cop (sebagai pengesahan) ke atasnya. Maka, Baginda pun mengambil cincin peraknya. Ia bagaikan seperti aku melihat sesuatu yang berkilat di tangannya dan diukir dengan perkataan Muhammad Rasulullah.”
(Hadis Riwayat Bukhari, no. 5537)
Namun, apabila dilihat pada kebanyakan situasi hari ini, cop pengesahan sudah direka dalam pelbagai bentuk selain daripada cincin.
Jadi, tiada lagi kewajipan ke atas seseorang pemimpin untuk memakai cincin. Adapun, hukum asal pemakaiannya adalah harus.
Antara keperluan lain yang boleh wujud ke atas si pemakai ialah untuk menandakan dirinya yang sudah berkahwin atau berpunya dan sebagainya. Maka, dalam hal ini ia adalah dibolehkan.
Tinggalkan Komen