Dijaga, dibelai dan dimanja sejak kecil, tiba-tiba terpaksa berpisah tentu tidak ada yang rela. Tidak kisahlah anak kandung mahupun anak angkat, semua orang pasti tahu bahawa perpisahan itu menyakitkan. Nak-nak ibu yang telah curahkan segala kasih sayang dan buat anak yang tahu dialah tempat bermanja.
Menerusi satu perkongsian di Facebook oleh Tuhfah Nazihah Tarmizi, yang berkongsi saat-saat terakhir adik angkatnya bersama mereka sebelum kembali ke pangkuan ibu kandungnya. Sebak bila terpaksa berpisah dengan orang yang membesarkannya.
Ciuman dan pelukan terakhir dari Umi
Dalam rakaman tersebut, ibunya Norlida Abu Hassan menangis sambil memberi ciuman dan pelukan pada anak angkatnya itu. Selama enam tahun menjaga anak itu bagai anak sendiri, tentunya sedih menguasai diri.
Walaupun masih kecil dan tidak mengerti, tapi kanak-kanak yang lebih mesra dikenali sebagai Amir itu kelihatan sedih dan menahan tangisan tentang apa yang berlaku.
Dari dua minggu menjadi enam tahun
Menurut Tuhfah, pada awalnya ibunya menawarkan diri untuk menjaga Amir selama dua minggu sementara ibu kandungnya melanjutkan pelajaran.
Tapi tidak sangka, dari dua minggu menjadi enam tahun Allah beri peluang mereka untuk saling berkasih sayang. Namun, kini selepas kehidupan ibunya sudah stabil dia datang mengambil Amir untuk membesarkannya pula.
Redha walaupun berat
Dalam sedih dan terpaksa, Norlida cuba menerima kenyataan untuk melepaskan anak yang dijaganya sejak kecil untuk pulang ke pangkuan ibu kandungnya. Malah bersyukur kerana diberi peluang membina kasih sayang selama enam tahun ini.
“Ibu kandungmu lebih berhak ke atas mu, Umi hanya sekadar untuk kau menumpang kasih.”
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Semoga hubungan anak dan keluarga ini terus terjalin dan tidak terpisah.
Tinggalkan Komen