“Hanya ajal yang memisahkan...” Masih ada yang ingat akan kisah kasih sayang pasangan warga emas ini? Melihat pasangan ini, tentunya ramai yang tertanya-tanya apa rahsia pasangan ini yang membuatkan kasih sayang mereka begitu kuat sehingga dibawa ke akhirnya.
Terdahulu, Allahyarham Wan Zainoon meninggal dunia pada usia 83 tahun meninggal dunia pada 6.48 pagi pada 3 November, manakala suaminya pula Allahyarham Wan Yahya meninggal dunia pada usia 86 tahun kira-kira 15 jam kemudian sekitar 9.40 malam.
Tak sanggup berjauhan
Baru-baru ini, menerusi Atin Syu yang merupakan cucu kepada arwah, berkongsi kisah cinta antara arwah datuk dan arwah neneknya di laman Twitter.
Menurutnya, neneknya tidak pernah mengeluh dalam menjaga atuknya yang terlantar sakit walaupun keadaan kesihatan neneknya tidak begitu baik. Ini kerana, neneknya pernah berkata kepadanya bahawa dia tidak sanggup meninggalkan suaminya keseorangan.
Malah, kongsinya aturan Allah sangat cantik. Atuknya sempat berjumpa neneknya sebelum meninggal dunia dan kemudian diikuti atuknya di malam hari.
Rahsia kekal bahagia hingga akhirnya
Atin juga sempat berkongsi rahsia arwah atuk dan arwah neneknya dalam mengekalkan hubungan bahagia hingga hujung nyawa. Pasangan itu dikatakan sentiasa menunaikan solat jemaah bersama di masjid, malah mereka juga sentiasa makan bersama serta menjaga antara satu sama lain.
“Mereka sentiasa bersama-sama solat jemaah di masjid setiap hari. Hingga atuk saya sakit saraf, tak boleh gerak kaki.
“Yang saya tahu, mereka tak pernah tinggal solat berjemaah di masjid sehingga mereka uzur. Selalu menjaga satu sama lain, tak ada mengeluh, sentiasa bersama ke mana sahaja.
“Mereka selalu makan bersama, tak pernah makan kat kedai. Selalunya nenek akan masak,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dia tidak pernah melihat arwah atuknya meninggikan suara kepada arwah neneknya, manakala arwah neneknya pula tidak pernah membantah apa yang atuk pinta.
“Saya tak pernah tengok atuk tinggikan suara kat nenek. Nenek pulak tak pernah bantah apa yang diminta atuk. Memang akan bincang baik-baik kalau ada masalah,” tambahnya.
Katanya lagi arwah atuk dan neneknya sangat prihatin terhadap anak dan cucunya dengan mengajak mereka menjamu selera setiap hari Jumaat.
“Setiap Jumaat pun nenek akan selalu masakkan nasi minyak dan cekodok pisang dan ajak anak cucu cicit semua makan sekali kat rumah dia. Mereka begitu prihatin terhadap kami,” katanya.
Dikesempatan itu juga, Atin sempat berkongsi beberapa keping gambar saat arwah atuk dan neneknya ketika dalam keadaan sihat. Penuh dengan senyuman kedua-duanya.
Semoga Allah menempatkan kedua-dua arwah Atuk Wan Yahya dan arwah Nenek Wan Zainoon bersama-sama orang beriman.
Tinggalkan Komen