Tentunya tidak terbayang oleh suami-suami di luar sana untuk menyambut kelahiran anak mereka dengan tangan mereka sendiri. Mana tidaknya, ada yang takut darah dan kurang pengetahuan akan proses kelahiran bayi.
Baru-baru ini tular akan kisah seorang lelaki yang berdepan detik cemas apabila terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ isterinya yang tiba-tiba hendak bersalin.
Menurut mStar, lelaki yang mahu dikenali sebagai Zamri itu berkongsi keadaan perkara tersebut berlaku.
Tiba-tiba isteri kata nak bersalin
Katanya, kejadian tersebut berlaku di kediaman mereka pada awal pagi Isnin ketika isterinya mengalami contraction dan mahu ke bilik untuk mandi.
Isterinya tiba-tiba memberitahu hendak bersalin dan dia sempat melihat kepala anaknya sudah terkeluar.
"Tiba-tiba isteri keluar dari bilik air dan beritahu rasa anak dah nak keluar"
"Isteri kemudian kata anak dah nak keluar sekarang. Bila saya tengok, kepala anak dah terkeluar penuh. Tak sempat ke hospital," katanya.
Bimbang keadaan anak dan isteri
Walaupun dalam keadaan yang mencemaskan, namun dirinya tidak berasa panik malah menggunakan ilmu pembelajaran daripada kelas keibubapaan dengan teknik yang betul.
Jelasnya, ketika itu dia memegang dua nyawa yang disayangi tentunya melahirkan rasa bimbang mengenai bayi malah takut jika bayi terjerut tali pusat atau pendarahan semasa bersalin.
"Saya suruh dia meneran (push), anak dah keluar selepas push kedua"
"Ia berlaku dengan pantas, tak sampai pun lima minit. Syukur Alhamdulillah," jelasnya.
Bukan pengalaman pertama
Zamri menyatakan bahawa ini pengalaman kedua buat dirinya selepas menjadi bidan anak pertama kira-kira dua tahun lalu. Malah dirinya sememangnya merancang untuk menyambut anaknya itu sendiri tetapi tidak sangka berlaku di rumah.
"Mujur anak kami berusia dua tahun sedang tidur di bilik lain, jadi keadaan lebih tenang"
"Sebelah tangan saya pegang bayi dan sebelah tangan lagi saya pegang uri," ujarnya.
Tinggalkan Komen