Jodoh Satu Meja

Oleh: Bella Bahrin

Nama aku Raihan. Aku nak cerita macam mana aku berjumpa dengan isteri aku sekarang. Agak pelik dan secara kebetulan sangat. Memang tak disangka-sangka. Cerita ni bermula masa aku nak naik kapal terbang untuk pergi ke Pulau Mabul Sabah. Kebetulan aku dapat cuti tahunan, jadi aku rancang untuk lepaskan penat aku dengan bercuti. Aku memang suka pergi sendiri. Sebab bagi aku, aku bebas nak buat apa je bila aku sendiri. Bukannya aku introvert, bencikan orang atau aku ni tak ada kawan. Cuma aku lebih suka menyendiri bila bercuti. Itu lah masa untuk aku bertenang dan melapangkan fikiran aku yang sibuk kerja, uruskan hal-hal tak penting, atau masalah dengan kawan. Tipu lah kalau korang tak ada masalah langsung dengan kawan korang.

Jadi dari nanti kepala aku makin sakit, baik aku pilih pergi sendiri. Semasa aku sampai di airport, aku tengok masih ada lebih kurang 2 jam lagi sebelum aku masuk ke kapal terbang. Aku pun pergi ke restoran untuk membeli makanan. Tapi malangnya masa aku dah beli makanan dan nak mencari tempat, semua tempat dah penuh dan sesak. Aku mula berpusing-pusing cari tempat, kot-kot ada tempat kosong untuk aku duduk.

Tiba-tiba mata aku terpandang seorang wanita sedang makan seorang diri. Kerusi di depan dia kosong, jadi aku terus pergi ke arah wanita itu.

“Maaf cik, boleh saya tumpang duduk dekat sini?”

Aku tengok wanita tu tersentak sikit, terkejut. Dia terus pandang ke arah aku dan mata dia terus tengok sekelilingnya. Tak sampai 10 saat dia balas balik pandangan aku sambil mengangguk tanda aku boleh duduk di depan dia. Aku yang dapat izin dia terus duduk sambil cakap terima kasih dan tersenyum. Wanita itu diam tapi dia mengangguk dan membalas senyuman aku.

Kami langsung tak buka suara dan hanya makan dengan diam. Aku memandang wanita tu sekilas dan terus pandang makanan aku. Aku perasan dia tiba-tiba panik, tak senang duduk. Tapi aku buat tak tahu sebab aku malas nak ambik tahu masalah orang, kecuali orang tu sendiri yang cakap.

“Awak, boleh tolong saya sekejap tak?”

Pertama kali aku dengar suara dia, suara dia lembut sangat dan sopan. Tertanya juga aku, dia ni jarang sangat bercakap ke sampai suara lembut macam ni? Aku pun pandang ke depan menghadap dia dan dia pun memandang aku.

“Kalau saya boleh tolong, saya akan tolong”

Bila aku cakap macam tu, wanita tu tiba-tiba jadi serba salah dan memainkan jari dia. Mungkin dia risau nak cakap apa yang dia nak. Aku pun cuma tunggu je lah apa yang dia nak cakap.

“Ermmm, boleh tak awak berlakon sekejap jadi suami saya?”

“Haaaa!?” Dengar je permintaan dia, aku terus terkejut dan muka aku berkerut. Siapa je yang dekat tempat aku mesti terkejut bila ada orang minta kau menyamar jadi suami dia. Sekurangnya mesti ada alasan kukuh untuk dia minta aku jadi suami dia. Jadi aku pun bagi pandangan bertanya, minta secara tak langsung dia jelaskan kenapa minta macam tu.

Akhirnya dia pun jelaskan yang sebenarnya dia tengah lari dari bekas pakwe dia. Dia menipu kat laki tu yang dia sekarang tengah honeymoon dekat pulau. Tapi masalahnya lelaki tu ada dekat kedai ni dan tengah perhatikan kami. Sebab tu dia mintak aku pura-pura jadi suami dia sampai kami keluar dari restoran ni je. Aku mengangguk faham dan aku pun setuju untuk tolong dia. Anggap lah ni untuk balas budi dia sudi tumpang meja dia dengan aku. Sekurangnya aku tak ada terhutang budi dengan dia.

“Tapi saya tak ada cincin.” Balas aku sambil tengok jari aku yang kosong. Tapi bila aku tengok jari dia, ada cincin di jari manis dia. Dia perasan aku pandang cincin tu, dia cakap ni cincin mak dia belikan. Sengaja dia pakai bila keluar sebab tak nak bagi lelaki kacau dia. Lelaki mesti anggap dia dah bertunang atau dah berkahwin.

Dia cakap tak apa. Dia suruh aku cakap cincin aku hilang dan kita sekarang nak beli yang baru. Aku pun mengangguk dan setuju je apa yang dia cakap. Kami berlakon sampai lah kami keluar dari restoran. Dia tengok sekeliling dan dia lepaskan nafas lega bila dia dah tak jumpa kelibat bekas pakwe dia lagi. Dia pun ucapkan terima kasih dan terus pergi ke tempat tujuan dia. Aku yang tengok masa aku untuk berlepas makin hampir terus pergi dari restoran tu.

Masa aku tengah cari nombor kerusi aku, aku tengok dah ada seorang wanita duduk dekat situ. Bila aku tegur dan wanita tu angkat kepala.

“Awak!” Aku dan dia saling cakap serentak. Tak sangka kami berjumpa lagi dekat dalam kapal terbang yang sama.

Bila dia tahu yang dia duduk dekat tempat duduk aku. Dia terus bangun dan meminta maaf, tapi aku terus tahan dia dan cakap tak apa. Aku boleh tukar tempat duduk, lagipun tu bukan lah masalah yang besar. Bila aku cari tempat duduk dia, baru aku perasan tempat duduk tu sebelah tempat duduk asal aku. Jadi aku beritahu dia dan mintak dia beranjak ke kerusi sebelah. Sebab aku susah nak masuk dan akan langgar, himpit dia. Mestilah dia tak selesa. Dia pun okay dan kami duduk bersebelahan di dalam kapal terbang.

Masa tu lah aku kenalkan diri aku, dan dia pun kenalkan diri dia. Nama dia Laila dan dia pun sama macam aku suka melancong. Cuma dia melancong kali ni sebab nak lari je, selebihnya dia memang suka travel seorang diri. Kami terus berbual dan semakin lama semakin rapat. Sampai lah kami dekat Pulau Mabul, aku dan Laila ambik keputusan untuk berjalan sama-sama. Resort kami berlainan tapi jaraknya tak lah jauh sangat. Jadi kami memang senang nak berjumpa dan keluar bersama.

Sedar tak sedar dah seminggu kami dekat sini. Esoknya sebelum balik ke Semenanjung, aku ambik keputusan malam tu aku nak luahkan perasaan aku dekat Laila. Selama seminggu aku dengan Laila, aku sedar yang aku mula suka dekat dia. Memang belum jatuh cinta lagi tapi aku yakin tak lama aku akan jatuh cinta dekat dia. Aku tak nak lah terlambat dan akhirnya Laila jadi milik orang lain. Dan tak disangka-sangka Laila terima perasaan aku. Aku bahagia sangat dan aku terus cakap dengan dia selang beberapa hari lepas balik, aku akan hantar rombongan meminang ke rumah dia. Mulanya dia terkejut tapi kemudian dia angguk tersenyum gembira.

Sekarang usia perkahwinan kami dah masuk 2 tahun. Kami tak tergesa ingin kan anak sebab bagi kami cepat atau lambat untuk kami memiliki anak, pasti ada hikmahnya dan pasti ada rezeki kami nanti. Inilah cerita aku dari berlakon jadi suami, tiba-tiba jadi suami betul pulak.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen