Balasan

Oleh: Siti Nur Ain

Bila aku tengok drama cinta sekali lagi ni. Aku tertanya juga apa pandangan korang dengan watak Amani tu. Wujud ke perangai macam Amani dalam real life? Yang bencikan kakak dia sebab parut kecil yang kakak dia tak sengaja buat dekat tangan dia? Start dari situ dia nak lebih dari dari kakak dia sampai guna ilmu hitam ambik suami kakak sendiri. Ada ke adik yang tergamak buat kakak sendiri macam tu? Jujur kalau tanya aku, aku akan cakap ye ada. Sebab benda ni pernah jadi depan mata aku. Cuma ni jadi dekat family sepupu aku. Alhamdulillah benda macam ni tak pernah jadi kat family aku sendiri.

Aku akan share dekat sini kisah dia. Jangan risau aku dah mintak izin dekat family dia. Lagipun kita boleh ambik banyak pengajaran dari cerita sepupu aku, yang lebih kurang sama je macam cerita cinta sekali lagi ni. Sepupu aku ni nama dia Mira (bukan nama asli) dan kakak dia Zara (bukan nama asli), diorang ada abang tapi abang dia bekerja kat luar negara. Memang jarang balik Malaysia dan tak tahu sangat pasal adik beradik dia.

Mereka masa kecil langsung tak ada masalah. Rapat, gurau senda sama-sama sampailah diorang tu macam kembar. Mak ayah mereka pun layan sama rata. Tak ada nak lebih-lebihkan salah sorang anak dia. Kalau Mira buat salah, Mira kena denda. Sama juga bila Zara buat salah. Zara selalu dekan setiap semester dan dapat dean’s list. Berbanding adik dia Mira, Mira ni lebih kepada sempoi dan belajar relax je. Tak pernah nak push diri sendiri sangat. Bagi dia asal markah tu okay, okay lah. Tapi lepas habis belajar, Mira dapat kerja dulu berbanding Zara. Zara lama menganggur dekat rumah.

Lepas beberapa tahun kemudian, akhirnya Mira kahwin dengan pilihan dia sendiri. Kehidupan Mira memang bahagia sangat, kerja bagus, rumah besar, gaji tinggi, dapat suami pulak memang boleh kata suami idaman sangat lah. Walaupun rupa sederhana je, tapi sikap dia boleh buat ramai perempuan jealous dengan Mira. Ramai je kawan Mira usik Mira cakap mereka cemburu dengan hidup Mira. Tapi Mira anggap tu cuma bergurau dan tak pernah ambik hati. Lagipun dia memang kenal kawan-kawan dia.

Zara pulak, dia memang dah kahwin. Lagi awal dari Mira dan memang pilihan dia sendiri. Tapi kehidupan Zara tak ada lah bahagia sangat. Rumah tangga dia selalu tak aman, bergaduh sampai laki dia keluar rumah dan tak balik seminggu. Zara berubah jadi panas baran dan tak nak dengar nasihat orang lain. Bila mereka balik ke kampung, Zara akan pandang benci dekat Mira. Lagi-lagi bila suami Mira layan Mira ni macam tuan puteri. Tapi tak ada siapa yang perasan benci Zara dekat Mira. Sebab Zara pandai berlakon.

Sampailah satu hari Mira selalu sakit-sakit. Badan dia lemah sangat, batuk tak berhenti sampai berdarah campur nanah. Puas mereka ulang-alik dari hospital tapi keadaan Mira makin teruk. Sampai kuku dia hitam dan tak boleh nak makan langsung. Cuma boleh minum susu je. Tiap kali masuk maghrib, keadaan Mira jadi lebih teruk. Mira cakap belakang dia sakit sangat sampai rasa nak patah. Akhirnya mereka cuba perubatan secara Islam bila bapak aku nasihatkan mereka cuba cari ustaz kenalan bapak aku. Aku kenalkan nama ustaz ni ustaz N.

Ustaz N ni setuju untuk tolong Mira. Bila sesi rawatan bermula, ustaz cakap Mira terkena santau. Ada orang cemburu dengan kebahagian Mira dan dia nak buat Mira menderita. Tapi ustaz tak cakap siapa yang hantar benda tu. Cuma ustaz cakap dia orang paling dekat dengan keluarga ni. Keluarga Mira tak puas hati dan pujuk ustaz untuk bagitahu, tapi ustaz tak nak cakap. Masa Mira sakit, Zara sentiasa ada dekat sisi Mira. Dia yang rawat Mira dan tak pernah tinggalkan Mira. Boleh katakan dekat situ Zara lah yang paling risau. Bila ustaz tak nak bagitahu siapa, Zara mengamuk dan pergi dari situ, dia marah sangat dekat ustaz.

Akhirnya genap setahun Mira sakit, dia tak boleh bangun dan baring je dekat katil. Tapi Alhamdulillah dia masih kenal keluarga dia walaupun badan dia tinggal kulit je. Dah tak ada Mira yang ceria, suka ketawa. Suami Mira pula tetap setia dekat samping Mira. Tak pernah dia abaikan Mira dan selalu temankan isteri dia. Keluarga mereka pun dah puas berubat ke sana ke sini tapi tetap tak boleh pulihkan Mira. Mereka kata santau yang dia hantar untuk Mira kuat dan sentiasa dia minta bomoh tu ulang hantar santau.

Sampailah seminggu kemudian, akhirnya Mira meninggal dunia. Keluarga mereka menangis dan tak dapat terima langsung kematian Mira. Sebab Mira meninggal kerana santau, kerana khianat orang dendam orang. Tetapi dalam masa yang sama, Keluarga Mira bersyukur, segala sakit dan derita Mira dah berakhir. Mira dah tak payah nak tanggung semua sakit tu. Malam selepas selesai pengebumian Mira, keluarga Mira berkumpul di ruang tamu. Termasuklah suami Mira, mereka satu keluarga berkumpul sebab mak mereka nak cakap sesuatu.

Mak mereka pun bagi satu surat kepada Zara dan mintak Zara baca depan semua orang. Masa tu barulah mak cakap yang sebelum Mira meninggal. Dia ada tulis satu surat untuk Zara. Dan Mira minta mak bagi surat tu bila Mira dah tak ada. Zara terima surat tu dengan tangan agak menggigil. Muka dia nampak cuak tapi dia tetap cuba tenang dan buka surat tu. Bukak je terus muka Zara pucat dan dia terus renyuk kan surat tu. Dia kata ‘oh tak ada pape. Mira cuma cakap jaga keluarga baik-baik. Tu je.’

PANG

Semua terdiam bila mak lempang Zara kuat. Zara terus pandang mak tak percaya. Muka mak time tu memang bengis tahan marah.

“Hei Zara! Kau ingat aku bodoh tak tahu yang kau selama ni santau adik kau?! Aku diam sebab Mira tak nak bagitahu. Mira nak kau menyesal seumur hidup kau bila dia dah tak ada! Kau ingat Mira selama ni tak tahu kau yang hantar santau dekat dia? Ustaz N bagitahu dia masa Mira pujuk menangis nak tahu siapa. Cuma dia bagitahu aku masa dia bagi surat tu dekat aku. Sebab permintaan dia juga aku buat-buat buta dengan semua lakonan kau!”

Lepas mak menjerit luahkan semua yang dia simpan, mereka terus pandang Zara tak percaya. Ayah terus ambik paksa surat tu dari tangan Zara dan ayah baca. ‘Aku maafkan kau, kakak.’ Baca je surat tu ayah terus menangis. Mereka tak sangka orang yang selama ni mereka anggap baik dan selalu tolong Mira, dialah yang buat Mira sakit sampai meninggal. Zara terus terduduk minta maaf dekat mak dan ayah. Dia cakap dia dah menyesal dan tak tahu apa yang hasut dia sampai macam tu sekali.

Tapi mak dan ayah tak nak dengar. Mereka menghalau Zara keluar dari rumah dan tak mengaku Zara tu anak dia lagi. Suami Zara ceraikan Zara dan abang dia terus mencaci maki Zara. Walaupun Zara menangis macam mana sekalipun. Mereka terus menghalau Zara keluar dari rumah dan tak nak pandang langsung dekat Zara. Sekarang ni Zara masih lagi hidup. Tapi dia dah gila dan selalu kehulu kehilir cakap sorang diri. Mungkin tu balasan dia sebab dia buat adik sendiri sampai meninggal dunia.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen