Assalamualaikum dan terima kasih kepada admin kalau siarkan confession ni.
Dulu masa aku mula-mula merangkak mengenal dunia, aku pernah bertemu dengan orang-orang yang tak ada comman sense. Masa tu aku baru saja mula bekerja di bandar dan menyewa di sebuah rumah. Rumah tu adalah sebuah rumah pangsa, 3 bilik dan dalam tu ada 6 orang penghuni termasuk aku. Aku tak ada masalah dengan rumah, tapi aku ada masalah sikit dengan rakan serumah yang kurang peka dengan keadaan sekeliling. Aku bukanlah seorang yang ada OCD tapi sekurang-kurangnya tolonglah kemas sikit. Memanglah aku yang paling muda dalam rumah tu, namun aku rasa tu bukan alasan untuk biarkan aku saja yang kemas rumah.
Setiap hujung minggu, bila waktu cuti tak ada seorang pun yang akan bersihkan rumah. Padahal dah buat jadual kemas rumah tapi tak ada pun yang buat. Bila sampai turn aku, bersungguh mereka kejutkan aku bangun pagi untuk kemas rumah. Ingatkan nak tolong kemas, rupanya mereka cuma bagi amaran untuk aku kemas rumah dan mereka akan keluar pergi mana-mana. Mula-mula aku buat tanpa banyak soal. Yelah, masa tu aku penghuni baru kan. Bila dah duduk dalam sebulan tu aku mula perasan rakan serumah aku tak ada pun kemas rumah mengikut jadual tu.
Mungkin ada yang kata, setakat rumah bujang apalah sangat nak kemas. Aku tak nafikan perkara tu kalau duduk seorang diri tapi kalau dah duduk ber-6 tanpa kita sedar sebenarnya banyak juga nak kemas. Selain daripada bilik sendiri, aku paling tak suka bila dapur bersepah. Rata-rata housemate aku suka masak dan aku tak kisah pun kalau mereka nak masak pakai bahan masakan atau barang aku cuma yang aku ambil peduli adalah bila mereka tak pandai kemas dapur bila dah siap masak. Bayangkan, dalam singki bertimbun pinggan mangkuk dan kuali yang mereka dah guna. Lepas tu, lantai dapur pula kotor dengan kesan minyak. Aku faham itu kesan merecik tapi apalah salahnya kalau dah siap masak atau dah selesai makan tu, ambil mop dan bersihkan.
Selain tu, aku pun pelik juga dengan sikap housemates aku ni. Mereka macam tak kisah bila rumah berbau dengan sampah. Aku bukan nak mengira dalam hal-hal kemas rumah ni, namun aku pun ada perasaan juga. Kadang, aku rasa macam mereka ni sengaja nak menguji aku. Pada bulan pertama dan kedua aku buat saja semua benda tapi bila dah setiap hari dan minggu macam tu aku pun dah rasa lain dengan perangai mereka. Aku hormat mereka sebagai orang lama dan juga sebagai orang yang lebih berusia daripada aku, tapi aku harapkan mereka lebih matang dalam hal-hal kebersihan ni. Lebih-lebih lagi sebagai perempuan. Perihal sampah ni, nampak macam remeh tapi bila kita fikir dengan lebih jauh melalui sampah ni lah banyak penyakit yang merebak dan lagi satu, sebagai seorang muslimah kebersihan tu utama walaupun sampah tu tak terletak di dalam ruang solat kita.
Pernah sekali dan itu adalah ujian kesabaran aku yang paling tinggi aku rasa. Aku keluar pergi rumah kawan aku dan bermalam di sana. Waktu tu adalah hujung minggu. Lepas habis waktu kerja aku terus gerak pergi ke rumah kawan aku dan aku dah maklumkan hal ni kepada rakan sebilik. Aku rasa mereka patut tahu aku pergi mana, sekurang-kurangnya tak adalah mencetuskan pelbagai prasangka. Aku duduk rumah kawan aku dalam 2 hari dan pada petang ahad tu aku gerak balik rumah sewa.
Sampai saja di rumah, aku terkejut tengok keadaan rumah. Rumah berbau dan apa yang paling tak seronok sekali adalah… sampah dah berlonggok sampai 2 beg plastik! Bukan plastik kecil ya, tapi plastik hitam yang besar tu. Aku pelik juga, selama 2 hari aku tak ada di rumah tu mereka ni ada buat kenduri ke sampai banyak sangat sampah. Tak lama lepas tu, aku terima mesej daripada salah seorang housemate aku.
‘Liya, kami tak ada di rumah. Kami balik hari selasa nanti. Sorry tak bagi tahu awal-awal kami semua dah berpakat untuk ambil cuti sampai hari selasa. Jaga diri, Liya. Oh, tolong buangkan sekali ya sampah tu. Thank you, muah!’
Masa terima mesej tu, aku terduduk sekejap. Aku macam tak boleh nak hadam perangai mereka ni. Aku faham mereka berlima rapat memandangkan mereka daripada universiti yang sama tapi, apakah ini bermaksud aku jadi pembantu rumah mereka? Mereka dengan senang hatinya tinggalkan keadaan rumah yang tunggang langgang dan pergi bercuti manakala aku yang kena berpenat lelah untuk kemas semuanya.
Aku memang tak boleh terima tapi aku tetap bersihkan rumah sambil menangis. Bukan lembik, cuma aku tak tahu kenapa dada aku sesak sangat masa tu. Rasanya seperti dah tak tahan tapi aku tetap teruskan mengemas. Lepas siap mengemas tu, aku terus telefon kawan aku dan tanya dia kalau dia tahu mana-mana rumah yang boleh aku sewa.
Sebulan kemudian, aku pindah keluar daripada rumah tu. Siapa sajalah yang tahan untuk tinggal dengan orang macam tu. Aku rasa macam duduk dekat neraka. Walaupun hanya hal kebersihan tapi melalui kebersihan ni lah orang menilai diri kita. Aku bukanlah pembersih sangat tapi aku harap setiap daripada kita perlulah ada comman sense dalam diri. Jangan sampai kita ni di katakan, muka saja cantik tapi pengotor.
Sekian tu saja cerita aku. Ingat, pergi mana-mana jangan tinggalkan common sense.
Tinggalkan Komen