Patutkah Aku Terima atau Tak, Lamarannya?

Oleh: Siti Nur Ain

Assalammualaikum, aku nak share dan minta pandangan dari korang semua. Aku baru je lepas bercerai dengan bekas suami aku Paiz (bukan nama betul). Dan sekarang masih lagi dalam tempoh iddah. Sekarang umur aku baru 22 tahun dan kami ada seorang anak. Aku dengan suami aku kahwin muda, aku umur 19 tahun, Paiz pulak 23 tahun.

Aku hidup sebatang kara, mak ayah aku dah meninggal dunia masa aku tingkatan 2. Aku berjaya habiskan belajar aku pun semua sebab pertolongan makcik aku. Tapi sekarang dia dah pindah jauh, ikut suami dia. Masa aku kerja dekat kilang lah akhirnya aku jumpa bekas suami aku. Paiz staf biasa dekat satu company yang agak besar. Ramai lah juga orang kenal company tu.

Bila Paiz cakap dia nak jaga dan nikah dengan aku, siapa je yang tak bahagia walaupun masa tu kami baru je kenal tak sampai 5 bulan.  Lagi-lagi masa tu aku dah tak ada ayah. Aku pun nak juga kasih sayang dari seorang lelaki, dan lelaki tu mestilah dari suami aku sendiri. Tapi aku minta dia tunggu setahun sebab aku rasa yang umur kami masih lagi muda sangat. Sekurangnya tunggu lah aku 20 tahun ke.

Paiz setuju. Walaupun aku nampak muka dia sedih tapi dia cuba sembunyikan dengan tersenyum macam biasa. Start dari hari tu, dia jarang contact aku, layan acuh tak acuh. Bila aku tanya kenapa dia macam ni, dia cuma balas tak ada apa-apa, penat kerja. Sikap dia buat aku rasa bersalah sebab tolak hasrat dia nak kahwin dengan aku sekarang. Tapi aku nak cari duit dulu, sekurangnya aku ada lah simpanan sikit.

Akhirnya sebab aku tak tahan dengan sikap dia yang terus abaikan aku, aku pun cakap yang aku terima dia. Aku akan nikah dengan Paiz tahun ni jugak. Barulah masa tu aku nampak muka dia yang happy sangat. Dia punya bahagia tu buat aku rasa macam aku ni special gila dekat hati dia. Bila aku rasa macam tu, of course lah bahagia tu cuma Allah je yang tahu. Memang aku tak boleh nak explain lah macam mana.

Setahun perkahwinan kami, mulanya memang bahagia. Dia layan aku baik sangat, dan dia betul-betul jadi suami yang diidamkan semua orang. Tapi aku tak sangka badai baru bermula lepas aku lahirkan anak pertama kami. Aku berpantang dengan ibu mertua aku, walaupun dia macam tak suka aku sangat, tapi dia tetap tolong aku. Bila aku habis berpantang, sifat Paiz perlahan-lahan berubah. Dari lemah lembut jadi panas baran, dari selalu balik awal sekarang selalu balik lambat. Alasan dia overtime dan banyak kerja. Aku pun percaya je lah. Dah suami sendiri kan? Tak kan tak percaya.

Hubungan kami terus berlanjut sampai aku tak tahu kesudahannya macam mana. Setiap hari aku menangis bila tengok perubahan dia yang ketara sangat. Semua kerja dekat rumah aku kena buat, beli barang dapur pun aku juga, walaupun aku terpaksa jalan kaki 2KM. Tu semua aku tak mengeluh sebab aku tak nak susahkan Paiz yang penat cari rezeki untuk kami sekeluarga.

Tapi sekarang duit belanja bulanan untuk beli barang pun Paiz dah berkira. Dulu dia tak pernah berkira dan stok barang dapur selalu cukup. Alasan dia selalu sama, dia ada hutang dan kena bayar hutan dia sebelum kami kahwin. Sampai lah akhirnya aku tak ada duit nak beli barang. Aku menangis terduduk bila aku tengok dekat dapur cuma ada 3 biji telur je dan beras yang sekali masak dah habis.

Nasib baik susu dan peralatan baby masih ada lagi. Sebab aku memang akan utamakan anak aku berbanding aku. Biarlah aku lapar, asalkan anak aku cukup semuanya. Bila Paiz balik dan tengok aku cuma masak telur dan nasi kosong. Dia tengking dan marah aku. Masa aku cakap duit dah tak ada nak buat beli barang, dia campak duit tu dekat muka aku dan terus keluar.

Kata terakhir sebelum dia keluar yang aku ingat, ‘menyesal aku kahwin dengan kau’. Hancur hati aku dengar Paiz cakap macam tu. Aku menangis, salah ke pilihan aku untuk kahwin dengan dia? Tapi aku cuba kuatkan hati aku dan aku yakin satu hari dia akan berubah. Mungkin sebab kerja dia jadi macam tu. Aku yakinkan hati aku yang semua jadi ni ada hikmahnya.

Aku pun akhirnya buat keputusan untuk meniaga online. Aku minta kawan aku ajar dan tebalkan muka minta pinjam duit dia sikit. Untuk aku mulakan perniagaan dan beli kelengkapan. Aku decide meniaga kek, sebab aku tengok sekarang ramai yang sukakan kek. Aku cuma boleh berdoa semoga semuanya berjalan lancar.

Aku akan COD ke rumah customer menggunakan motor jiran aku. Alhamdulillah hanya doa semoga dia selalu dimurahkan rezeki je yang mampu balas jasa dia. Dia bagi aku sewa motor dia sangat murah sebab dia kesiankan dekat aku. Jadi aku dah tak payah risau dengan kenderaan. Anak aku pun mereka sanggup tolong jagakan sebab tak nak aku risau. Dan akhirnya perniagaan aku berjalan lancar dan sekarang dah ramai customer. Walaupun pada mulanya dia punya perit, memang tak sanggup aku nak cakap. Tapi sekarang semuanya dah terbayar dengan apa yang aku dapat.

Paiz pula masih balik ke rumah dan anggap tak ada apa-apa yang berlaku. Bila tengok aku dapat hasilkan duit sendiri, bahagia lah dia sebab tak payah nak keluarkan duit buat beli barang dapur. Dan start dari situ juga perlahan-lahan sikap dia kembali macam dulu, seorang yang lemah lembut. Insting aku cakap yang Paiz memang lain macam. Ada yang tak kena. Tapi aku cuba tipu hati dan fikiran aku.

Sampailah satu hari masa aku nak COD, aku ternampak Paiz dengan seorang perempuan dekat kedai makan. Bukan main mesra lagi mereka makan sambil bersuap-suap. Aku kenal perempuan tu, dia kawan kerja Paiz dan pernah datang ke majlis kami. Masa tu juga darah aku mendidih, marah, benci semua kumpul jadi satu. Aku tak sangka yang dekat belakang aku dia main dengan perempuan lain.

Tapi aku terus balik ke rumah sebab aku masih ada akal. Aku tak nak malukan diri sendiri depan ramai orang. Malam tu dia tak balik rumah tapi esoknya kami bergaduh teruk, dia tak mengaku yang dia curang dan tuduh aku reka alasan. Bila aku cakap aku nampak depan mata aku dan dekat kedai mana baru lah Paiz terdiam. Sebab desakan dan aku ugut cederakan diri aku, barulah dia lafazkan talak dekat aku.

Aku terus pergi mahkamah dan failkan penceraian, akhirnya kami berpisah selepas beberapa tahun je mampu bertahan. Untuk anak pulak, dia memang rapat dengan Paiz, tapi aku harap dia boleh terima semua ni, aku tak akan halang Paiz nak jumpa, tapi anak aku tetap akan ikut aku. Aku tak akan biarkan dia ikut Paiz. Kalau Paiz kahwin lain, aku tak nak anak aku dibesarkan oleh mak tiri. Aku tak sanggup nak dengar kalau anak aku kena dera nanti.

Tapi tak sampai sebulan, Paiz cari aku balik. Dia menangis dan merayu untuk kembali dengan dia. Sampai dia berlutut depan pintu rumah aku semata-mata nak maaf aku dan bersama di sisi dia lagi. Paiz pun gunakan anak kami untuk pujuk aku, dia cakap anak kami pun perlukan dia juga. Dia janji dia akan berubah untuk aku dan anak kami. Sekarang aku berbelah bagi nak terima atau pun tak. Aku tahu walaupun anak aku tak cakap apa-apa, tapi muka dia berharap aku kembali sebabdia pun nakkan kasih sayang seorang ayah. Aku buntu sekarang ni tak nak pilih yang mana. Tolong aku. Tolong bagi pandangan korang untuk aku.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen