Bila hujung tahun dah tiba, ramai pasangan yang memilih untuk berkahwin walaupun pada musim covid 19 ni. Alhamdulillah, baru-baru ni aku dapat khabar yang ex aku pun akan berkahwin pada hujung minggu ni dan dia pun ada jemput aku ke majlis perkahwinannya.
Pada awalnya aku tak sangka yang Haziq (bukan nama sebenar) akan jemput aku sebab ye lah, dah jadi ex kan tapi dia kata Nani suruh jemput. Sebelum ada yang pening, aku dan Nani aka future wife Haziq pun rapat juga. Kami selalu berhubung melalui whatsapp dan kadang kami akan keluar bersama bila aku cuti.
Kawan-kawan aku selalu tanya kenapa aku rapat dengan Nani sedangkan dia adalah kekasih ex aku dan sejujurnya kawan-kawan aku melebelkan Nani sebagai perampas. Mereka nampak yang Nani ni sebenarnya punca kepada hubungan aku dan Haziq putus tapi hakikatnya itu bukanlah kebenarannya.
Nani muncul dalam hidup Haziq adalah satu rahmat bagi Haziq. Aku putus dengan Haziq bukan berpunca daripada Nani tapi itu semua keputusan aku. Aku yang putuskan Haziq sebab pada masa tu aku tak nampak pun yang hubungan kami boleh pergi jauh.
Kenapa aku cakap macam tu? Aku anak sulung dan aku ramai adik beradik manakala Haziq pula adalah anak bongsu. Dia lahir dalam keluarga yang berada tak padan dengan aku. Ni bukan cerekarama atau akasia drama TV3 tapi ni realiti. Aku melihat keluarga Haziq dan aku berbeza. Bagai langit dan bumi. Aku tak pernah bagitahu Haziq perkara ni tapi inilah sebab sebenar aku putus dengan dia.
Hubungan percintaan kami hanya bertahan selama setahun dan jujur aku katakan bahawa Haziq adalah lelaki pertama yang aku pernah bercinta. Kami berkenalan pada awal semester tahun akhir dan berakhir setelah habis semester tahun akhir. Kiranya, bercinta tu tak lama tapi berkawan biasa tu lagi lama lah. Kawan-kawan rapat aku berpendapat bahawa, alasan aku tinggalkan dia tu terlalu drama dan tak realistik. Kata mereka,
“Kau sepatutnya teruskan saja hubungan dengan Haziq tu. Dia dah kaya okaylah tu. Kau pun boleh tumpang senang.”
Aku hanya diam mendengar kata-kata mereka. Aku tetap dengan pendirian aku sebab aku yang pernah jumpa keluarga Haziq. Aku pernah jumpa keluarga dia dan pada pandangan aku, keluarga dia bukannya boleh terima orang luar dengan mudah. Lepas aku jumpa keluarga Haziq ni lah aku buat keputusan untuk tinggalkan dia.
Aku pernah ditanya oleh ibu Haziq tentang pekerjaan ayah aku dan aku pun katalah yang aku cuma kerja sebagai pemandu lori dan ibu dia tanya juga tentang taraf pendidikan ibu bapa aku. Aku pun jujur sajalah tentang latar belakang keluarga aku walaupun aku rasa ni macam temuduga untuk cari kerja. Masa aku cerita tentang mak ayah aku, aku nampak wajah ibu Haziq berubah kelat.
Aku ada satu sifat yang aku percaya tentang apa yang aku rasa. Sejak pertemuan dengan ibu Haziq, aku jarang bertemu dengan Haziq. Aku perlahan-lahan jauhkan diri daripada dia bukan sebab benci tapi perasaan aku ketika tu dah semakin pudar terhadap Haziq. Lebih-lebih lagi bila teringatkan wajah kelat ibu Haziq.
Perasaan aku kuat menyatakan bahawa kalau aku nak teruskan hubungan aku dengan Haziq, mesti ibu dia tak benarkan. Mungkin akan benarkan tapi tak boleh nak terima aku seadanya. Setelah sebulan aku jauhkan diri dan jarang berhubung dengan Haziq, aku akhirnya bertemu dengan dia untuk putuskan hubungan kami. Sakit jugalah pada awalnya tapi dalam masa yang sama aku rasa lega. Aku rasa macam aku dah bebas daripada satu perasaan yang menyakitkan yang aku pendam selama ni.
Pada waktu tu aku mula berfikir dengan lebih jauh tentang matlamat aku untuk ubah nasib keluarga aku daripada dipandang serong oleh orang luar. Jauh dilubuk hati sebagai seorang anak, aku rasa sakit sangat bila orang pandang keluarga aku ni lemah dan bandingkan hidup aku dengan orang lain. Mungkin ni semua hanya dilihat pada drama tapi itulah pahitnya kenyataan yang harus ditelan. Alhamdulillah, aku dah dapat berikan kehidupan dunia yang lebih baik buat mak ayah aku dan aku bersyukur dengan hidup aku.
Buat Haziq dan keluarga aku doakan kalian berbahagia dunia serta akhirat. Aku bukan nak cerita ni untuk membuka aib pihak lain tapi aku cuma nak pembaca tahu bahawa orang yang memandang pada pangkat dan darjat tu wujud sebenarnya.
Sekian terima kasih.
Tinggalkan Komen