Hai semua, harini aku nak story pasal ex-husband aku. Kami dah dekat setahun bercerai dan aku rasa cerita aku ni boleh jadi teladan untuk korang. Lagi-lagi untuk yang baru nak berkahwin dan tengah rasa excited gila.
Aku gelarkan ex-husband aku ni Z. Kami dijodohkan oleh kedua orang tua kami. Aku yang memang single dan tak ada siapa-siapa pun, terimalah. Bagi aku maybe ni yang terbaik untuk aku. Yelah jodoh dari parents, mestilah mereka nak yang terbaik.
Bila aku setuju, aku pun berjumpa lah dengan Z. First impression aku dekat dia, memang baik dan aku rasa dia memang jodoh aku. Masa tu aku memang rasa bahagia sebab aku tengok dia perfect dan ada ciri-ciri yang aku suka.
Z pun pandai bercakap dan ambil hati aku. Jadi memang patut juga parents aku berkenan dengan Z lepas parents dia bawak Z jumpa family aku. Time ni aku dah tahu yang Z ni kerja tukang rumah dan aku kerja kilang je. Tapi aku tak kesah dengan semua tu.
Bagi aku asalkan kami sama-sama berusaha, adalah rezeki kami. Akhirnya kami kahwin selepas 3 bulan bertunang. Memang rasa bahagia je lah. Akhirnya kau dah jadi isteri someone yang kau rasa, dia lah imam dan kau akan bahagia dengan dia.
Masa tu aku naif. Aku ingatkan setiap perkahwinan berakhir bahagia selama-lamanya. Macam mak dan ayah aku yang still lagi sweet, walaupun dah tua.
Kami duduk dekat rumah parents aku lepas kahwin. Kebetulan dekat rumah tu cuma ada abang dengan mak ayah aku je. Abang pun jarang balik jadi tak ada lah siapa-siapa rasa terganggu bila suami aku ada dekat rumah.
Lainlah kalau aku ada adik perempuan, tu mungkin aku fikir 2 atau 3 kali sebab tak nak adik aku tak selesa. Tapi sebab aku ni bongsu, jadi aku rasa agak bebas lah sikit. Mulanya hubungan kami berjalan lancar. Langsung tak ada apa-apa isu dan masalah.
Tapi nak masuk setahun usia perkahwinan kami, aku mula rasa tak berapa selesa dan tak puas hati. Bila Z selalu dekat rumah dan goyang kaki je. Hampir semua perbelanjaan rumah aku yang tanggung. Dia pulak bila ada job untuk baiki rumah, atau buat rumah, barulah dia kerja.
Kalau tak memang kerja dia makan tidur je lah. Z langsung tak ada usaha nak cari kerja sampingan lain. Bila aku merungut, banyak alasan yang dia pakai sampai aku sendiri ngalah. Selagi aku tak ngalah, selagi tu lah dia akan lawan balik semua apa yang aku cakap.
Mungkin sebab masa tu masih muda, baru umur 23 tahun. Jadi aku mudah marah dan emosi aku langsung tak stabil. Tapi aku pun malu dengan parents aku bila aku yang keluar kerja penat-penat cari duit. Tapi Z langsung tak ada usaha sikit pun.
Z terlalu santai dan aku tengok masa tu memang senangnya hidup kau. Mulanya aku memang boleh bersabar. Atas dasar cinta juga aku yakin one day dia akan berubah. Aku yakin aku boleh ubah dia, dan jadi lebih baik.
Tapi kalau kau sorang je berusaha, yang si dia pulak langsung tak nak berubah. Percayalah benda tu tak akan terjadi. Kau tak akan dapat ubah seseorang tu hanya dasar cinta. Sebab susah orang nak berubah, dan kalau hanya setakat cinta je. Memang tak akan jalan. Sebab aku dah alaminya sendiri.
Tapi kesabaran aku makin hilang. Bila dia langsung tak nak kerja walaupun dah 2 bulan tak kerja. Bila dia nak duit, dia akan minta aku. Dia nak itu ini, aku yang belikan. Aku rasa macam ATM bergerak untuk dia. Aku pernah gaduh dan tanya Z yang aku ni wife dia ke atau cuma mesin keluarkan duit?
Sebab layanan dia dekat aku tak ubah macam aku ni just tempat dia perlukan duit. Tapi Z ni pandai pujuk. Berulang kali dia minta maaf sampai lah aku maafkan dia lagi. Benda tu berulang banyak kali sampai lah usia perkahwinan kami masuk 3 tahun.
Aku malu sangat bila sedara mara dan jiran-jiran perli parents aku. Diorang cakap kesian korang dapat menantu macam tu. Wife punya struggle cari duit, lakinya pulak sibuk membuta dekat rumah. Tapi walaupun dah kena perli depan-depan macam tu, dia still tak faham and malu.
Urat malu Z tu macam tak ada. Aku pernah tanya, dia tak malu ke kena cakap dengan jiran semua. Dia jawab buat apa nak malu, bukannya mereka ada kaitan dengan hidup kita. Masa tu juga aku rasa nak menangis, marah semua ada.
Patut lah dia langsung tak malu dengan parents aku, dengan abang aku, sebab dia dah biasa. Dia langsung tak kesah dengan pandangan orang lain. Dan dia juga tak kesah parents dia ke, atau mertua dia ke malu sebab dia.
Bukan setakat tak ada tanggungjawab, tapi Z ni juga langsung tak reti nak jaga air muka orang tua dia. Aku rasa masa tu aku ni bela biawak hidup je. Yang langsung tak bagi faedah dekat aku. Ye korang boleh apa punya isteri cakap macam tu dekat suami sendiri.
Korang tak akan faham apa yang aku rasa, sebab korang tak duduk dekat situasi yang sama macam aku. Kalau korang dapat rasa apa yang aku rasa, mungkin korang akan faham kenapa aku sampai cakap macam tu. Aku memang langsung tak bahagia dengan perkahwinan aku.
Sampailah aku akhirnya minta cerai dan kami berpisah. Bila aku dah bercerai, barulah aku rasa lega dan lapang. Aku tak kesah aku pegang status janda di usia muda aku. Sebab bagi aku, aku lagi pilih pegang status tu. Daripada hidup aku merana.
Sekarang ni aku lagi suka hidup solo dan aku jadi takut nak berkenalan, berkahwin dengan orang baru. Mungkin trauma dengan pengalaman ex-husband aku.
Untuk mereka yang rasa teruja, excited, lagi-lagi dengan orang yang baru kau kenal. Hati-hatilah. Aku tak nak korang hadap benda yang sama aku hadap.
Aku tak cakap semua laki sama, aku tahu diorang berbeza dan langsung tak sama antara satu sama lain. Tapi tak salahkan kita jaga-jaga?
Tinggalkan Komen