Assalamualaikum kepada semua pembaca. Aku harap semuanya berada dalam keadaan yang baik-baik saja. Aku kenalkan diri aku sebagai Wan, berusia 26 tahun dan masih bujang.
Setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang berbeza-beza tak kiralah dari segi cinta mahu pun harapan kepada sebuah kehidupan. Aku juga mempunyai kisah aku sendiri. Kadang, kita rasa seseorang yang kita kenal dan rapat selama bertahun-tahun tu adalah jodoh kita tapi kita lupa bahawa semua perkara tu Allah yang tetapkan.
Aku pernah terluka sebab gantungkan harapan terlalu tinggi dalam sesebuah hubungan dan berikan sepenuh kepercayaan terhadap seseorang. Meletakkan dia nombor satu berbanding pencipta, utamakan dia daripada keluarga sendiri tapi rupanya aku silap.
Aku tak salahkan dia pun cuma waktu yang aku bazirkan bersama dia jadikan aku sebagai seorang yang selalu menyesali perbuatan sendiri. Berkenalan dengan Aisyah selama 5 tahun tapi akhirnya, hubungan kami putus ketika Aisyah dijodohkan dengan lelaki pilihan keluarganya. Aku pun tak faham, kenapa aku bertahan mencintai dia selama 5 tahun lepas tanpa berfikir bahawa dia juga akan pergi bersama orang lain. Aku bagi semua yang aku ada demi dia dan ternyata dia bukanlah seseorang yang ditakdirkan untuk aku.
Aisyah datang dalam hidup aku sebagai sebuah mimpi indah dan bila Aisyah pergi aku rasa kosong. Mimpi indah aku tak lagi ada dan aku berharap dia kembali. Aku betul-betul lupa tentang takdir Tuhan. Aku lupa untuk bersujud dan meminta kepada-Nya.
Aku tahu aku khilaf tapi aku tak tahu nak betulkan kembali daripada mana. Aisyah terlalu bermakna dalam hidup aku sehingga aku seolah-olah tak boleh hidup tanpa dia. Aku manusia yang terlalu mengagungkan manusia lain. Padahal dia juga adalah hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.
Setelah putus dengan Aisyah kehidupan aku tungang-langgang. Aku seperti manusia yang hidup tanpa roh. Buat semua perkara tanpa ada perasaan. Hari-hari yang aku lalui rasa macam mendung dan sedih. Tak ada warna dalam hidup aku setelah Aisyah bukan lagi milik aku.
Aku masih boleh melakukan segala pekerjaan tapi tak sebagus ketika aku masih bersama Aisyah. Macam gila bayang pun ada. Lagi menyakitkan hati aku adalah aku melihat Aisyah sangat bahagia dengan suaminya dan kehidupan dia, malah dia juga tak pernah contact aku setelah kami putus.
Selain tu, aku berubah menjadi manusia yang sangat sensitif dan aku tak mampu untuk kawal sifat panas baran aku. Aku tak boleh terima kenyataan bila orang beri komen terhadap prestasi kerja aku. Jika diingat semula aku macam manusia yang rasa dirinya terlalu sempurna dan perkara tu berlaku hanya sebab cinta yang aku tak dapat miliki.
Ketika tu juga aku rasa Aisyah patut minta maaf dengan apa yang dia lakukan pada aku. Aku mula salahkan Aisyah dengan apa yang berlaku sebab terkadang aku terfikir kenapa manusia susah nak keluarkan perkataan maaf? Sedangkan perkara tu memang salah mereka sendiri.
Aku sentiasa menangkan orang lain sehingga aku sendiri yang kalah dengan kehidupan aku. Sedih, derita dan kecewa perkara ni yang aku tanggung dalam kehidupan aku. Aku berfikir seperti tu. Aku fikir aku manusia sempurna dan aku putus bukan salah aku yang tak halalkan segera hubungan aku dengan Aisyah. Kiranya aku salahkan semua orang.
Setelah berbulan lama aku jadi macam tu, aku akhirnya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan pindah daripada tempat tu. Aku tak tahu kenapa tapi aku rasa nak berubah lepas aku dengar seseorang pernah kata yang setiap berlaku dalam hidup kita adalah ujian dan takdir Allah.
Dia kenalkan diri dia sebagai Afiq dan ketika tu Afiq telah kematian isterinya. Aku jumpa dia masa aku pergi hospital untuk rawat tangan aku yang patah sebab kemalangan dan tu pun sebab aku memandu ikut perasaan marah aku.
Penjelasan Afiq tentang takdir Allah membuatkan aku tersentap. Aku baru sedar yang aku ni meletakkan manusia dulu sebelum Allah. Aku terlalu bergantung kepada manusia berbanding kebergantungan aku kepada Allah. Aku dikaburi dengan cinta manusia yang aku anggap agung dan Allah dah buktikan yang sebenarnya cinta manusia tu adalah sementara.
Akhirnya aku sedar, tu semua adalah khilaf aku. Aku harap kita semua dapat ambil iktibar dengan setiap ujian yang kita lalui. Jangan letakkan manusia sebagai tempat bergantung dan gantungkanlah segala harapan kita kepada Allah semata-mata.
Tinggalkan Komen