Berang terhadap dua kucing yang dipercayai membuang najis di hadapan rumahnya, seorang wanita bertindak memukul dua kucing sehingga mati manakala seekor lagi luka dalam kejadian di Pintas Kalui, Seberang Jaya, Bukit Mertajam.
Rakaman tersebut dipercayai tular beberapa hari lalu hingga mencetuskan kemarahan pencinta haiwan tersebut berikutan tindakan yang dikatakan kejam.
Direman bagi membantu siasatan
Menerusi laporan Harian Metro, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membenarkan suspek direman selama empat hari hingga Ahad ini untuk membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melakukan siasatan siasatan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Wanita berusia 51 tahun itu dikatakan bertindak di luar jangkaan apabila mengambil sebatang besi dalam keretanya sebelum memukul dua kucing yang ketika itu sedang makan.
Akibat daripada perbuatan itu menyebabkan seekor kucing yang bunting mati manakala seekor lagi mengalami luka di mulut.
Kucing tidak bertuan
Bagaimanapun, kejadian tersebut disedari oleh eorang juruteknik lelaki berusia 30 tahun yang kemudian melaporkannya kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat JPV, Azhar Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dua kucing itu tidak bertuan dan berkeliaran di kawasan perumahan berkenaan.
"Semalam pihak JPV pergi semula ke rumah suspek selepas soal siasat dijalankan serta membuat rampasan pakaian serta besi yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
"Sebelum itu, kita sudah mengambil bangkai kucing yang mati dan dihantar ke makmal veterinar untuk proses bedah siasat," katanya.
Seekor lagi kucing yang cedera dilaporkan masih menerima rawatan berikutan mukanya bengkak dan mengalami kesukaran untuk makan.
Tinggalkan Komen