Memilih untuk menamatkan zaman bujang tentunya menjadi salah satu azam pada tahun baru ini. Nak-nak lagi buat mereka yang sudah puas menunggu pasangan hidup mereka.
Sama juga seperti pelakon dan usahawan Rafidah Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Fida, yang dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan tidak lama lagi.
Menerusi laporan Harian Metro, Fida dan pasangan yang juga merupakan ahli perniagaan merancang mengadakan majlis pernikahan mereka sebelum Ramadan tahun ini.
Dapat restu dari ibu
Menurut Fida, dia dan lelaki berkenaan sudah berkenalan lama dan saling mengenali sejak lebih 10 tahun lalu.
Pelakon berusia 35 tahun itu juga menyatakan bahawa calon suami seorang lelaki yang baik, sangat memahami dan banyak membantunya.
"Ditambah, Allahyarham ibu saya pun sangat sukakan dia dan menyayanginya. Malah arwah ibu sudah memberi restu kepada kami sebelum meninggal dunia pada Mei 2017. Bagaimanapun, Insya-Allah rezeki jodoh kami mungkin tahun ini," katanya.
Tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai lelaki tersebut, Fida menyatakan bakal berkongsi wajah suami apabila tiba masanya.
"Saya tak boleh nak kongsi lebih-lebih mengenai perkara ini, kerana semuanya dalam perancangan lagi. Saya mohon, doakan yang baik-baik supaya urusan jodoh kami berjalan lancar," ujarnya.
Tak bertepuk sebelah tangan
Fida yang pernah dikenali dengan drama Cinta Tikar Sejadah juga menyatakan bahawa dia yang memberanikan diri melayangkan pertanyaan lamaran kepada lelaki itu.
"Saya beranikan diri bertanya kepadanya bukan disebabkan terdesak nak kahwin kerana sudah makin berusia, tapi saya ikhlas sukakan dia dan mana tahu kami mempunyai perasaan yang sama.
"Alhamdulillah, saya tidak bertepuk sebelah tangan. Malah, dia juga yang masih bujang menerima saya dengan ikhlas hati. Kini, saya berharap urusan pernikahan yang kami rancang menjadi kenyataan," katanya.
Tinggalkan Komen