"Ayah pesan jaga emak dan adik..." - Calon SPM 2020 tak sangka itu pesanan terakhir

Oleh: Zuzu Yasmine

Semalam, seorang pelajar SPM 2020 menerima khabar duka akan pemergian bapanya malah remaja berkenaan juga sempat melihat ayahnya yang sudah tidak bernyawa buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Sempat jumpa ayah buat kali terakhir

Difahamkan, van jenazah Allahyarham bapa kepada Muhammad Haikal Iskandar Zambry ini sempat dibawa ke sekolah dan remaja berkenaan juga dapat berjumpa dengan bapanya walaupun dalam masa yang singkat.

"Saya masuk 20 minit lewat ke dalam dewan peperiksaan selepas 'bertemu' arwah ayah, fikiran saya agak terganggu tetapi saya cuba memberi tumpuan untuk menjawab kertas Sejarah," luahnya.

Menurut remaja berusia 18 tahun itu, bapanya dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat kegagalan fungsi buah pinggang, mereka sekeluarga tidak berpeluang melawat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19.

"Hati saya resah... Sudahlah langsung tidak dapat menjenguk ayah sejak seminggu lalu, jadual peperiksaan juga tidak mengizinkan saya untuk menghadiri pengebumian arwah ayah.

"Namun, permintaan emak supaya membawa jenazah ayah 'singgah' di sekolah sedikit melegakan hati, walaupun sedih ayah sudah tiada sekurang-kurangnya dapat melihatnya buat kali terakhir," katanya.

Ayah pesan jaga emak dan adik-adik

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru berkata kali terakhir dia berjumpa arwah ayahnya Khamis minggu lalu sebelum dia ke kelas tambahan.

Haikal berkata, arwah bapanya sudah lama menghidap kegagalan fungsi buah pinggang, namun baru-baru ini penyakitnya semakin teruk hingga mengakibatkan kerosakan hati selain jangkitan kuman dalam darah yang menjadi penyebab kematiannya.

"Ketika pulang dari kelas tambahan, saya diberitahu ayah dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping, Jumaat lalu.

"Sebelum dimasukkan ke wad, ayah berpesan supaya menjaga emak dan adik-adik.

"Bermakna sejak seminggu lalu jugalah saya tidak berpeluang bertemu, menatap, apatah lagi bercakap dengan ayah, sehingga dimaklumkan ayah sudah tiada petang kelmarin (Selasa)," katanya.

Akan buat yang terbaik SPM ini

Sehubungan dengan itu, anak sulung daripada tiga beradik itu turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menenangkan dan mengizinkannya menatap wajah ayahnya buat kali terakhir dalam pada rakan-rakannya yang lain sudah masuk ke dewan peperiksaan.

Tambahnya, sebelum dimasukkan ke hospital arwah ayahnya berkelakuan pelik apabila amat berselera makan masakan kampung.

Haikal juga mengatakan bahawa dia akan menunaikan hasrat arwah ayahnya supaya 'menggantikannya' untuk menjaga keluarga memandangkan dia anak lelaki sulung dalam keluarga.

"Apa pun terjadi, saya akan lakukan yang terbaik dalam SPM kali ini," luahnya.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen