Penah mengalah ketika rawatan kemoterapi, pemuda kongsi detik berjuang lawan kanser buat hati sebak

Oleh: Zuzu Yasmine

Pejuang penyakit kanser sememangnya seorang yang sangat hebat, bukan sahaja melawan penyakit yang dialami namun juga menerima ujian yang sudah tertulis buat dirinya.

Sama seperti seorang pemuda ini yang disahkan menghidap testicular kanser (NSGCT) pada tahun 2017 lalu dan kini telah sembuh sepenuhnya.

Tidak sangka disahkan kanser

Berkongsi kisah dan pengalamannya di laman Facebook, Mohamad Faisal mengatakan bahawa dia agak terkejut apabila disahkan kanser tersebut sedangkan dirinya tidak merokok, tidak minum alkohol serta ahli keluarganya tiada sejarah akan penyakit kanser.

Menurutnya, semuanya bermula apabila dia perasan bahawa testis sebelah kanan membesar dan mengeras namun, dirinya berasa lega apabila kansernya ketika itu berada di tahap pertama.

Bagaimanapun, doktor yang merawatnya menyarakan untuk membuang sebelah ‘testes’ miliknya dan sehari selepas pembedahan dia juga telah dibenarkan pulang.

Kanser kembali lagi

Namun, selepas setahun berlalu, dia membuat rawatan susulan dan mendapati kanser tersebut kembali semula dan lebih ‘aggressive’ iaitu telah merebak ke bahagian paru-paru kanan dan juga hati.

Faisal juga mengatakan detik tersebut sangat mencemaskan dirinya memandangkan dia terpaksa melakukan rawatan kemoterapi dengan segera malah isterinya pula sedang sarat mengandung anak kedua.

Pengalaman ‘chemotherapy’ mengerikan

Berkongsi akan pengalaman menjalani kemoterapi, Faisal mengatakan pada awalnya seperti tiada apa-apa namun, selepas seminggu satu persatu kesan baru muncul dimulai dengan rambut gugur dan badan terasa lemah.

Tidak menyangka kesan kemoterapi sebegitu teruk, dia terpaksa meminta bantuan ibu di kampung untuk datang ke Sabah bagi membantu menjaga dirinya. Malah, ibunya sentiasa menemani dirinya saat dia menerima rawatan.

Pernah rasa mengalah

Jelas Faisal, rawatan kemoterapi seterusnya sememangnya sangat memberi kesan kepadanya sehingga dia rasa ingin mengalah kerana tidak sanggup meneruskan rawatan namun kembali digagahkan kerana sokongan ibu dan juga isterinya selain, redha akan ujian yang diberikan.

“Saya bangkit dan lawan kanser ni. Fight till the end. Ada orang lain yg lagi besar ujiannya. Lihat sahaja di ward , anak2 kecil yg belum mengenal dunia, sudah bertarung dgn kanser. Penderitaan dan kesakitan mereka, tidak dapat diungkap,” kongsinya.

Alhamdulillah sembuh

Tambah Faisal, pada penghujung November 2018, segala rawatan dapat diselesaikan malah, dengan izinNya dia sembuh daripada penyakit tersebut dan kini dirinya telah stabil sepenuhnya.

Di akhir perkongsian, Faisal mengatakan bahawa dia dikurniakan anak ke tiga yang sememangnya tidak disangkakan kerana doktor merawatnya pernah mengatakan bahawa dirinya berisiko tinggi untuk mandul. Apa-apa pun perancangan Allah lebih indah.

Dalam kesempatan itu juga, Faisal sangat berterima kasih kepada ibu dan isterinya yang sentiasa menyokong dirinya semasa perjuangan tersebut.

Setiap penyakit ada penawarnya, buat yang sedang berjuang teruskan berjuang. InsyaAllah akan bertemu dengan penawarnya kelak.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen