Cukup syarat rentas negeri, polis lakukan pemeriksaan teliti punca Tol Gombak sesak

Oleh: Zuzu Yasmine

Hari ini tular akan beberapa keping gambar keadaan lebuh raya menghala ke Pantai Timur sesak dengan kenderaan.

Menerusi laporan Harian Metro, hampir semua pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Gombak didapati cukup syarat untuk melakukan perjalanan rentas negeri menghala ke Pantai Timur.

Tinjauan dilakukan bersama Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, selama lebih empat jam sejak jam 9 pagi mendapati keseluruhan pengguna mempunyai surat kebenaran yang sah sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak.

Beliau berkata, sebahagian besar yang melalui SJR berkenaan menunjukkan surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain surat kebenaran dari pihak polis.

"Setiap proses pemeriksaan yang dibuat secara teliti mendapati sebahagian besar pengguna mempunyai surat kebenaran rentas negeri.

"Selain urusan bekerja dan terbabit dalam perkhidmatan penting, ada antara pengguna juga mempunyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta Pasangan Jarak Jauh (PJJ)," katanya selepas memeriksa sendiri sebahagian besar pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak, tengah hari tadi.

Walau bagaimanapun, terdapat 14 pemilik kenderaan diarahkan berpatah balik selepas mereka memberikan alasan tidak munasabah dan mengemukakan dokumen tidak lengkap serta meragukan.

"Mereka yang diarah berpatah balik ini membawa rakan sedangkan surat kebenaran adalah untuk faktor PJJ, bagi membolehkan dia bertemu isterinya di Pahang, selain membawa individu lain yang tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri," ujarnya.

Dalam pada itu pihaknya mengatakan bahawa kesesakan berlaku disebabkan kenderaan terlalu banyak yang ingin menuju ke Pantai Timur dan memilih untuk melakukan pergerakan pada masa sama antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Justeru beliau menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan bahawa adanya pergerakan luar biasa hari ini sebelum sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan Selasa ini.

"Malah kesesakan juga mengambil masa selepas pihak polis membuat pemeriksaan secara terperinci bagi mengelak masyarakat melakukan sebarang pergerakan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran," katanya.

Katanya, Polis Daerah Gombak akan mempertingkatkan jumlah SJR dan penguatkuasaan Pasukan Pematuhan menjelang Selasa ini.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen