Menyesal edar dadah, ibu tunggal meraung lepas dijatuhkan hukuman mati mandatori

Oleh: Zuzu Yasmine

Tular hari ini akan video seorang wanita dipimpin anggota polis dipercayai diperkarangan mahkamah selepas perbicaraan atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu.

Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook dikenali sebagai Otai JOHOR memaparkan wanita berkenaan meraung ketika diiringi anggota polis yang bertugas.

Malah dengan tangan bergari, dapat dilihat juga wanita tersebut seakan tidak berdaya untuk berjalan selepas mengetahui hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Memetik laporan Astro Awani, ibu tunggal kepada sembilan anak itu dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alwi Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairun Jalmani, 55, selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh yang juga penjual ikan didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2018.

Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acho.

Sepanjang prosiding pendakwaan, pihak pendakwa menampilkan empat saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh sendiri.

Artikel Lain

Tinggalkan Komen