Tak sengaja tampar bayi lapan bulan kerana muntah, pengasuh ditahan polis

Oleh: Zuzu Yasmine

Seorang wanita yang merupakan pengasuh kepada bayi lapan bulan telah ditahan polis bagi membantu siasatan berkenaan dakwaan menampar bayi terbabit.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu Rabu lalu yang dibuat ibu bayi terbabit.

"Susulan itu polis menahan wanita berusia 48 tahun bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kejadian itu disedari ibu bayi berkenaan ketika mengambil anaknya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dan mendapati pipi bayi terbabit kemerah-merahan," katanya.

Berdasarkan siasatan yang dilakukan, pangasuh bayi berkenaan mengaku tidak sengaja menampar pipi bayi berkenaan ketika berada di dalam buaian kerana mangsa dikatakan sering muntah.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap laporan ini dan menunggu laporan penuh perubatan ke atas mangsa. Kes akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan pertuduhan dengan kadar segera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan polis," ujarnya.

Artikel Lain

Tinggalkan Komen