“Tak logik arwah mencuri, dia impi masuk syurga...” - Saudara terkilan RM4 punca pemergian

Oleh: Zuzu Yasmine

Semalam, kita dikejutkan akan kisah seorang Kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, 11, merupakan seorang yang tidak pernah berkira dengan rakan-rakannya malah memasang impian memasuki syurga dan sering menghalalkan kesemua hutang rakan-rakannya.

Menurut keluarga mangsa, Faridah Latifah, mangsa yang mesra disapa Medan pernah bercerita tentang rakan-rakan yang berhutang dengannya.

“Arwah pernah bercerita kawannya berhutang, namun ibunya sering meminta arwah agar tidak berkira dan menghalalkan sahaja hutang rakannya itu. Sejak itu arwah sering memberitahu dia menghalalkan semua hutang rakannya kerana dia mahu bantu rakannya dan masuk ke syurga,” katanya.

Menyifatkan arwah seorang pemurah, wanita berusia 49 tahun itu juga meluahkan rasa terkilan apabila kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat dibelasah rakannya hanya kerana wang RM4.

“Tidak logik untuk menuduh arwah mencuri wang RM4 itu kerana arwah sendiri seorang yang tidak berkira. Saya memang sangat terkilan kerana seniornya itu sanggup memperlakukan arwah sedemikian,” luahnya.

Faridah mengakui bahawa kehilangan arwah yang merupakan anak yang sangat baik dan ceria adalah satu kehilangan yang besar buat mereka sekeluarga.

“Walaupun saya cumalah ibu saudara angkat pada arwah, tapi kami sangat mesra, malah arwah memanggil saya dengan gelaran mama. Kami sering berjumpa setiap kali saya pulang ke rumah ibu angkat yang merupakan nenek arwah di Kampung Gelugor. Arwah sentiasa menceriakan suasana dan bila dia tak ada ini, memang akan terasa sangat kehilangannya,” ujarnya.

Tambah Faridah, ketika ditemui Januari lalu, arwah dikatakan berhasrat membina pondok dan gelongsor di atas pokok jering bersebelahan rumah dan bengkel bapanya untuk bermain bersama adiknya.

“Arwah siap berpesan pada adiknya supaya menunggunya pulang dari asrama untuk bermain bersama-sama di pondok itu,” katanya.

Difahamkan Muhammad Hafdan Qurbani mula dihantar bagi mendapatkan pengajian agama di kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan sejak setahun lalu.

Arwah dikatakan dihantar untuk memulakan sesi baharu pengajian pada Khamis minggu lalu sebelum dikatakan meninggal dunia akibat dibelasah pelajar senior pada Ahad lalu.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen