Setiap manusia mempunyai keinginan yang tersendiri. Ada yang kita minta kepada Allah, tetapi sangat sulit kita dapatkan. Mungkin ada kesilapan yang kita lakukan sebelum ini dalam meminta pertolongan daripada Allah sehingga Allah menangguhkan permohonan tersebut. Maka, disenaraikan beberapa cara untuk allah memakbulkan permohonan kita dengan izin-Nya.
1. Niat.
Dalam apa jua yang dilakukan oleh kita, libatkan Allah dalam urusan tersebut. Contohnya, mahu bernikah sebab nak melakukan kebaikan bersama-sama dengan isteri atau suami kelak. Apabila niat kita betul-betul ke arah tersebut, yakinlah pasti allah akan membantu memudahkan urusan kita. Azam dengan sekuat mungkin agar keinginan itu termakbul.
2. Segera melakukan suruhan Allah.
Mana mungkin kita mahu Allah makbulkan doa kita, tapi dalam masa yang sama kita mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba. Adakah kita akan dibantu oleh Allah? Pastinya tidak. Kita selalu mendengar kata-kata ini, “apabila selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati kita.” Jadi kenapa kita tidak mendekatkan diri kepada allah lebih-lebih lagi dalam urusan yang sangat kita mahukan. Buang sifat ego dalam diri yang berasa kita hebat, padahal semuanya kehebatan kita itu datang daripada Allah. Maka, lakukan semua suruhannya, insyaallah doa kita akan dimakbulkan-Nya.
3. Cemburu dengan kebaikan.
Cemburu untuk menjatuhkan seseorang itu tidak dibenarkan dalam Islam. Tetapi, sekiranya kita cemburu dengan kebaikan seseorang itu lakukan, kita juga ingin seperti dia, maka itu dibolehkan. Kerana ia sebagai motivasi untuk kita menjadi manusia yang lebih baik. Misalnya, apabila kita melihat orang berumah tangga sangat gembira dengan kehidupan dia, ditambah pula apabila dikurniakan anak soleh solehah, kita berkeinginan untuk menjadi seperti keluarga tersebut. Dengan cemburu tersebut, sudah pasti allah akan mendorong kita ke arah tersebut.
Jadi, usahlah berputus asa dalam berjuang. Yakin. Apabila kita ingin melakukan kebaikan, pasti Allah akan membantu. Cepat atau lambat bergantung kepada keizinan allah. Yang pasti, keazaman itu perlu kuat. Apapun, selamat mencuba tips ini. Moga Allah mempermudahkan segala urusan yang kita inginkan. Mudah-mudahan.
Tinggalkan Komen