“Jika Ingin Kaya Dan Murah Rezeki, Maka Bernikahlah…” Adakah Kenyataan Ini Benar? Jom Semak!

Perkara paling asas, apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seumpama ini daripada lidah para asatizah dan juga penceramah, yang mana ia boleh membawa kepada beberapa maksud dan kefahaman yang berbeza dari murad (kehendak) mereka yang menyebutkannya, adalah dengan bertanya sendiri kepada pemilik kenyataan. Ini kerana, hal ini adalah lebih menggambarkan ciri akhlak yang baik kerana kita meminta penjelasan sendiri dari tuan punya badan bagi sesuatu ucapan dan kenyataan.

Keduanya, kita juga pada peringkat permulaan hendaklah bersangka baik kepada pemilik ucapan.Terutamanya ucapan-ucapan yang dikeluarkan oleh para asatizah yang telah diiktiraf keilmuan dan juga ketokohannya di dalam agama. Sudah pasti mereka tidak berbicara atau mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bersumberkan ilmu yang tepat lagi benar.

Sebatas penelitian kami, tidak terdapat sebarang nas yang menunjukkan bahawa sesiapa yang mahukan kekayaan, hendaklah dia berkahwin. Iaitu kekayaan dalam erti kata hartanya menjadi melimpah ruah, wang ringgitnya berkepuk, dan seumpamanya. Ini kerana, hal seperti ini tidak termasuk sebagai tujuan dan hikmah pensyariatan nikah.

Akan tetapi, dalil yang mengisyaratkan kepada hal ini adalah firman Allah SWT yang menyatakan:

"Dan berkahwinlah dengan wanita-wanita dari kalangan kamu, serta mereka yang soleh dari kalangan hamba-hamba sahaya kamu lelaki dan perempuan. Sekiranya mereka itu (golongan hamba) merupakan para fuqara (orang faqir), Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dari kelebihan-Nya. Dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui" (An-Nur: 32)

Daripada ayat di atas, dapatlah kita tahu bahawa kemungkinan kenyataan yang disebutkan tersebut, memaksudkan kepada firman Allah SWT ini. Kami kongsikan syarahan dari Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila beliau menafsirkan ayat ini dengan katanya: Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

"Allah memberikan targhib (anjuran) kepada mereka terhadap pernikahan. Dan dia memerintahkan agar berkahwin kepada lelaki-lelaki yang merdeka ataupun lelaki-lelaki dari kalangan hamba. Serta Dia menjanjikan al-Ghina (kecukupan) ke atas perkara tersebut’’.

Manakala Ibn Mas’ud R.A juga berdalilkan ayat di atas setelah beliau berkata: ‘’Carilah kecukupan melalui perkahwinan’’.

Saidina Abu Bakr al-Siddiq R.A turut mengucapkan perkataan yang hampir sama dengan katanya:

"Taatilah Allah ke atas apa yang dia telah perintahkan kamu semua berkenaan pernikahan, nescaya Dia akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan untuk kamu daripada kecukupan’’. Lihat Tafsir al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir (6/51-52).

Demikian juga Rasulullah SAW dalam menguatkan hal ini baginda bersabda berkaitan tiga golongan yang menjadi hak Allah SWT untuk membantu mereka. Di antaranya adalah: 

Seorang yang bernikah dengan tujuan untuk ‘afaf (menjaga kehormatan dan kemuliaan dirinya). Riwayat al-Nasaie (3218).

Daripada beberapa sudut, tidak dinafikan bahawa pernikahan boleh mendatangkan harta benda yang lebih. Ini mengambil kira beberapa faktor yang kami nyatakan seperti berikut:

  • Perkahwinan membawa erti pertambahan individu. Sebelum ini, iaitu ketika bujang seseorang itu mungkin mempunyai pendapatan secara bersendirian. Sebaliknya, selepas perkahwinan pendapatan isi rumah akan menjadi lebih besar sekiranya isteri turut berkerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
  • Melalui perkahwinan, ketua rumah iaitu suami sudah pasti menyedari hakikat bahawa tanggungjawab yang dipikulnya kian bertambah. Justeru, ini akan membawa kepada kesungguhannya dalam berusaha menambahkan pendapatan dirinya bagi menampung tanggungjawab yang berbeza seperti zaman bujangnya dahulu.
  • Faktor anak-anak turut menjadi peranan untuk seorang bapa berusaha lebih gigih mencari harta yang lebih. Dan kesemuanya ini tidak lain tidak bukan adalah kesan-kesan sampingan yang bermanfaat hasil dari sesebuah pernikahan.

Kesimpulan.

Berdasarkan kepada beberapa nas dan syarahan yang telah kami kemukakan di atas, kami cenderung berpendapat bahawa pernikahan semata-mata itu tidaklah memastikan kekayaan harta benda. Sebaliknya, pernikahan yang dijalankan dengan tujuan yang tulus benar kerana Allah serta ingin memelihara kehormatan diri, nescaya pastia akan diberikan bantuan dan pertolongan Allah SWT dari sudut memberikan pasangan yang bernikah itu kecukupan dalam hidup.

Inilah yang dinamakan sebagai konsep takwa dalam pernikahan. Maka setiap pasangan suami isteri yang bertakwa kepada Allah, dari sudut mereka melaksanakan segala arahan Tuhan dan meninggalkan segala larangan-Nya, pastilah Allah S.W.T menjanjikan jalan keluar kepada mereka dari setiap kesulitan, serta dikurniakan rezeki dari jalan yang mereka tidak sangka-sangka seumpama kesenangan dan kecukupan dalam kehidupan. Benarlah firman Allah SWT yang menyatakan:

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan menjadikan untuknya (orang yang bertakwa) jalan keluar (dari setiap kesukaran). Serta Dia akan memberikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Dia itu mencukupi buat dirinya." (Al-Thalaq: 2-3)

Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah SWT memberikan kefahaman dan taufiq kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

********Semoga Bermanfaat********

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen