“Merancang Keluarga Adalah Tanggungjawab Bersama, Nak Anak Banyak Atau Sikit Perlu Bijak Merancang.”

Oleh: Zuzu Yasmine

Selepas berkahwin, sudah pasti ramai orang yang berangan-angan untuk memiliki anak pula. Tidak kiralah anak yang banyak atau sedikit pasti ia akan tetap jadi angan-angan. Namun begitu, selepas memiliki anak seorang adalah sangat wajar untuk ibu menjaga jarak untuk mengandungkan anak kedua dan seterusnya, demi kesihatan dirinya sendiri. Maka bermulalah segala tips perancangan keluarga untuk menjaga jarak kelahiran anak-anak.

Pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk merancang sesebuah keluarga, sebagai contoh merancang secara kerjasama, penggunaan pil perancang, implan dan pelbagai kaedah lain. Namun begitu, bagaimana pula jika suami si isteri tadi tidak membenarkan isterinya mengambil sebarang kaedah untuk menjaga jarak di antara usia anak-anaknya? Mari baca sedikit perkongsian dari Hana Hadzrami ini.



RANCANG

Baru-baru ini kami dikejutkan dengan seorang ibu mengandung yang mempunyai masalah injap jantung serius, datang kerana mengandung kali kedua.

Bagaimana boleh terlepas mengandung kali kedua? Dah selamat bersalin kali pertama pun suatu keajaiban, bertaruh nyawa kali kedua pula. Beliau yang dinasihatkan ikat peranakan atau guna alat perancang telah memilih untuk merancang sendiri. Tetapi jelas rancangan itu telah gagal.

Dan sekarang datang dengan kepenatan luar biasa dan jantung yang membengkak. Maka riuhlah pakar bersalin, pakar jantung dan pakar bius semua.

Ini perkara serius bukan main-main. Risiko kematian beliau adalah besar kali ini kerana keadaan jantung yang semakin teruk. Namun syukur beliau selamat bersalin secara caesarean dengan pemantauan ketat. Kali ini beliau yang serah diri untuk diikat kerana serik melalui keadaan hampir putus nyawa.

Saya juga teringat satu kes seorang ibu datang untuk caesarean kali kedua hanya setahun selepas caesarean pertama. Bermakna beliau mengandung sejurus habis berpantang anak pertama. Pun gagal merancang sendiri juga.

Sewaktu lapisan peritoneumnya dibuka, terserlahlah rahimnya yang sangat tipis. Setipis kulit bawang. Doktor bedah tak perlu potong rahim dengan skalpel pun; hanya cucuk dengan jari saja terkeluar air ketuban dan kepala bayi.



Kami urut dada. Mujurlah pesakit dibedah secara elektif dan belum mula gesa bersalin lagi. Kalau kontraksi rahim terjadi walau sedikit saja maka koyaklah rahimnya; boleh meninggal kedua ibu dan anak kerana pendarahan melampau. Meremang bulu tengkok bila diingat semula.

Itulah antara kisah ‘near miss’ kami. Kerana itulah sesetengah pesakit kami beratkan merancang keluarga secara efektif lebih dari pesakit lain.

Ada juga kisah ibu muda baru berumur 35 tetapi dah ada 8 anak yang berjarak selang setahun. Beliau dilarang suami untuk merancang. Namun suaminya tak juga membantu kerja rumahtangga mahupun kerja mendidik anak.

Sewaktu beliau mengandung anak ke 9, suaminya meninggalkan dia untuk bersama perempuan lain. Rupa ibu tadi nampak 20 tahun lebih tua dari umur sebenar, menggambarkan kelelahannya.
Kesian. Taat pada suami hingga membelakangkan kesihatan sendiri akhirnya memakan diri. Bukan saja diri merana, anak-anak pun terbiar. Suami yang dulunya beriya tak izinkan merancang akhirnya memberi lesen merancang terbesar buatnya iaitu lafaz talaq.

Tuan Puan sekalian, merancang keluarga adalah tanggungjawab bersama sebagai ibubapa. Nak anak ramai atau anak sikit perlu merancang juga. Kalau nak anak ramai, perlulah rancang pelaburan tenaga dan kewangan yang lebih; tak boleh lah setakat jadi penderma sperma saja. Berdosa jika zalimi hak isteri dan anak.

Kepada isteri yang mempunyai sebab perubatan kukuh tetapi dihalang merancang, ketahuilah yang anda berhak dari segi syariah untuk merancang tanpa izin pasangan.

Maqasid syariah meletakkan agama dan nyawa pada tahap tertinggi. Tak perlu izin sesiapa pada perkara yang mengancam agama dan nyawa anda.

Kalau rumah sedang marak terbakar, perlukah minta izin sesiapa untuk menyelamatkan diri? Samalah dengan nyawa terancam atas sebab perubatan. Kedua-duanya adalah darurat.

Hana Hadzrami
Ada ibu yang rasa berdosa ambil perancang tapi langsung tak rasa berdosa menggugurkan anak bila termengandung. Rela buat yang haram sebab nak elakkan yang harus.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen