Bolehkah Wanita Islam Mendapatkan Khidmat Di Salon Non-Muslim? Ikuti Penjelasan Dari Ustaz Farid Rashidi.

Oleh: Zuzu Yasmine

Sebagai seorang wanita, penjagaan aurat itu tersangatlah penting. Ini kerana di dalam agama Islam, seorang wanita itu wajib menutup aurat. Tapi bagaimana jika seorang wanita mendedahkan auratnya kepada wanita bukan Islam kerana sebab-sebab tertentu.

Sebagai orang Islam, perasaan dan ragu-ragu dan bimbang akan sesuatu perkara pasti akan mudah timbul sekiranya sesuatu perbuatan yang dilakukan itu dirasakan salah di sisi agama Islam. Maka dengan itu, pelbagai soalan dan pertanyaan pasti akan timbul kepada pihak yang lebih mahir dalam bidang ini.

Dengan ini, Ustaz Farid Rashidi telah merungkai kesangsian yang sering kali menjadi teka teki wanita yang beragama Islam. Diharapkan penjelasan yang diberikan dapat difahami dengan jelas.



Beberapa orang pernah bertanyakan hukum berkenaan seorang wanita muslim mendapatkan perkhidmatan di saloon perempuan non-muslim. Apakah hukumnya?

Lama juga saya peram soalan ini. Agak sukar. Banyak kali mahu siarkan, tapi ada beberapa rujukan sahih perlu dibuat berkali-kali. Bimbang salah susun dan tulis hukum yang para ulama’ tulis.

Baik, mesti ramai yang musykil berkenaan masalah ini kan? Yelah, kita ini tinggal di Negara yang berbilang kaum dan agama. Tidak dapat tidak, akan hadapi.

Jadi, boleh atau tak seorang muslimah mendapatkan khidmat saloon kafirah (non-muslim)?

Jom baca pelan-pelan. Rileks. Panjang juga ni. Salah baca, salah fahamnya nanti. Yang lambat pick-up dan blur semacam, minta tolong kawan azankan di telinga barang sedas dua. Takut ke bulan nanti.

Alah, gurau pun tak boleh.

Ok, sebenarnya ulama’ fiqh berbeza pendapat berkenaan aurat perempun muslimah pada pandangan perempuan kafirah. Bahkan ulama’ di dalam Mazhab Syafie’ sendiri juga mempunyai beberapa pandangan.

Pandangan-pandangan ulama’ seperti berikut:

1. Manakala menurut pandangan majoriti ulama’ fiqh, aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan.
[Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 1/47]

2. Sebahagian ulama’ Mazhab Syafei’ berpandangan bahawa aurat muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seluruh tubuh yang selain daripada kepala, tangan dan kaki.

3. Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitami: “Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmi dan kesemua perempuan kafirah walaupun kafir harbiy melihat kepada perempuan muslimah, tetapi harus dia melihat dari muslimah apa yang zahir ketika bekerja.
[Lihat Tuhfah al-Muhtaj: 7/200]

4. Manakala di dalam kitab Siraj al-Wahhab, pengarang ada menyebut: “Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmiy melihat kepada muslimah, tetapi harus dia melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja.

5. Imam Al-Qalyubi menyebut: “Tetapi boleh perempuan kafir zimmi melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja. Inilah yang muktamad, maka perlu diikatkan dengannya akan kalam pengarang.
[Lihat Hasyiah Qalyubi Wa ‘Umairah: 3/212]

6. Berkata Imam Asy-Syarwani: Aurat muslimah nisbah kepada pandangan wanita kafirah, jika wanita tersebut bukan tuannya dan juga bukan mahramnya, iaitu anggota yang tidak zahir (nampak) pada ketika bekerja.
[Lihat Hasyiah al-Syarwani Ala Tuhfah al-Muhtaj: 2/212]

7. Berkata Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari: Perkataanya "Anggota yang zahir ketika bekerja" iaitu muka, kepala, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut.
[Lihat Asna al-Matalib: 14/280]

Ok, selesai bab pendapat para ulama’ berkenaan masalah ini.

Mari kita lihat hujjah mereka pula.

1. Antara hujjah ulama’ yang mengatakan tidak harus perempuan muslimah memperlihatkan auratnya di hadapan perempuan kafirah:

Pandangan ulama’ dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie’ (sebahagian) yang wanita Islam tidak harus membuka auratnya di hadapan wanita bukan Islam, sama seperti aurat di hadapan lelaki bukan mahram (ajnabi) adalah berdasarkan dalil daripada Surah an-Nur ayat 31.


أَو نِسائِهِنَّ
“…atau wanita-wanita Islam,”


Dalam ayat tersebut Allah SWT menyebut perkataan aw nisa’ ihinna.

Ramai mufassirin (ahli tafsir) mentafsirkan maksud nisa’ ihinna ialah wanita Islam. Berdasarkan tafsiran ini, wanita bukan Islam tidak termasuk dalam golongan mereka yang boleh melihat perhiasan atau aurat wanita Islam.

Menurut satu riwayat, hanya Imam Ahmad Ibnu Hanbal yang berpendapat: “Sesetengah orang berkata bahawa Muslimah tidak boleh membuka tudungnya di hadapan Nasraniyyah dan Yahudiyyah. Adapun saya berpendapat mereka tidak boleh melihat kemaluannya sahaja dan tidak boleh membidaninya ketika dia (muslimah) bersalin.”

Maksudnya pada pandangan di atas seorang perempuan dibolehkan menampakkan perhiasannya kepada perempuan muslimah, bukan kepada perempuan kafirah.

Perempuan muslimah dibenarkan asalkan mereka tidak menceritakan keadaan kaum wanita muslimah kepada kaum lelaki mereka. (Saya pernah tuliskan bab ini pada artikel yang lepas, ingat tak?).

Ini berdasarkan kalimah yang digunakan. Kerana tidaklah digunakan kalimah نِسائِ sahaja yang boleh membawa maksud mana-mana perempuan. Tetapi kalimah yang digunakan di dalam ayat Quran itu adalah نِسائِهِنَّ (perempuan-perempuan ‘mereka’) yang memberi maksud perempuan tertentu sahaja.

Selain itu ada riwayat menceritakan isi kandungan surat Khalifah Saidina Umar al-Khattab:


وقال سعيد بن منصور في سننه : حدثنا إسماعيل بن عياش ، عن هشام بن الغاز ، ، عن عبادة بن نسي ، عن أبيه ، عن الحارث بن قيس قال : كتب أمير المؤمنين عمر بن الخطاب إلى أبي عبيدة : أما بعد ، فإنه بلغني أن نساء من نساء المسلمين يدخلن الحمامات مع نساء أهل الشرك ، فإنه من قبلك فلا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن ينظر إلى عورتها إلا أهل ملتها .
Sa’id ibnu Mansur telah meriwayatkan di dalam kitab sunannya, telah menceritakan kepada kami Isma’il Ibnu Ayyasy, dari Hisyam Ibnul Gazi, dari Ubadah Ibnu Nissi, dari ayahnya, dari Al-Haris Ibnu Qais, bahawa Khalifah Umar menulis surat kepada Abu Ubaidah yang isinya sebagai berikut:
“Amma Ba’du, sesungguhnya telah sampai berita kepadaku yang mengatakan bahawa sebahagian dari kaum perempuan muslimah sering memasuki tempat mandi sauna bersama perempuan-perempuan musyrik, dan hal itu terjadi di daerah selenggaraanmu. Maka tidak dihalalkan bagi perempuan yang beriman kepada Allah SWT dan hari kemudian memperlihatkan auratnya kepada perempuan lain kecuali perempuan yang seagama (Islam) dengannya.”


2. Antara hujjah ulama’ yang membolehkan perempuan muslimah memperlihatkan auratnya di hadapan perempuan kafirah:

Ada satu pendapat yang mengatakan, نِسائِهِنَّ yang dimaksudkan adalah golongan wanita yang selalu berurusan dengan wanita itu, tidak kira sama ada muslim atau pun tidak. Iaitu mereka yang dipercayai.

Pendapat ini membenarkan untuk memperlihatkan aurat perhiasan biasa nampak. Perhiasan yang dimaksudkan ialah bahagian leher, anting-anting, bahagian yang ditutupi oleh kain tudung, dan anggota lainnya (biasa nampak) yang tidak halal dilihat kecuali hanya oleh mahramnya. (Bukan aurat besar, seperti kemaluan dan lain-lain)

Iyalah, memandangkan pula zaman sekarang amat susah untuk menjaga aurat dari mereka terutamanya bagi perempuan yang duduk sebilik dengan perempuan non-muslim. Dan juga saat mendapatkan perkhidmatan dengan mereka. Wallahu a’lam.

Konklusinya, aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah menurut pandangan majoriti ulama’ fiqh adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan.

Manakala menurut pandangan sebahagian ulama’ Mazhab Syafie’, termasuk sebahagian ulama’ zaman sekarang di kalangan Mazhab Syafie bahawa aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah selain kepala, tangan dan kaki.

Jadi, boleh mendapatkan khidmat di saloon non-muslim dengan syarat. Haa, ada syarat. Syaratnya:

1. Memang betul-betul tidak ada perkhidmatan saloon muslimah di kawasan itu setelah buat cari. Jika ada, eloklah utamakan saloon muslimah ya. Bantu ekonomi muslim. Alhamdulillah nampaknya sekarang dah ramai perempuan Islam buka Saloon & Spa untuk muslimah.

2. Adanya tempat tertutup, bilik khas hanya untuk perempuan sahaja. Dilarang sama sekali ada lelaki non-muslim atau muslim bukan mahram di dalamnya.

3. Adanya pengawalan ketat, dengan hanya menampakkan aurat tertentu sahaja. Misalnya nak gunting rambut, hanya dedahkan rambut sahaja. Bukan aurat lain.

4. Bebas dan aman daripada fitnah.

Alhamdulillah, selesai. Tahniah buat anda yang dapat membaca dan menghadamnya dengan baik. Semoga memberi manfaat berguna buat semua terutama yang nak pergi gunting rambut macam ala-ala minah Jepun di saloon tu. Yang nak cari kutu tak payahlah sampai pergi saloon. Hehe.



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen