Mana Yang Lebih Afdhal Untuk Golongan Wanita, Terawih Di Rumah Atau Di Masjid? Ikuti Penjelasan Ini.

Apa yang sering kita lihat, wanita memang jarang ke masjid untuk solat berjemaah berbanding dengan golongan lelaki. Malah persoalan ini sering menjadi kekeliruan para wanita ketika mahu solat terawih, adakah lebih baik di rumah atau pun di masjid?

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda;

“Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya”.

Dan juga hadith yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi SAW dan berkata:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku”

Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sampai bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.

********

Namun, tidak pula golongan wanita dilarang untuk solat terawih di masjid cuma ada garis panduan yang perlu diikuti iaitu…

1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.

Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada paraperempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah An-Nur: 31)

2. Tidak memakai wangi-wangian.

“Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

3. Mendapat keizinan suami.

4. Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat.

Ummu Salamah RA menceritakan;

“Para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah sementara Rasulullah dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut.” (Riwayat Bukhari).

********

Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi dan kehadiran seseorang wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, maka dibolehkan untuk mereka ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

Kesimpulannya, jika golongan wanita ingin ke masjid untuk melakukan solat terawih, tiada halangan baginya malah banyak manfaat yang akan diperolehi. Di samping mendapat ilmu  daripada ceramah agama juga.

Betapa indahnya Islam apabila agama ini tidak memberatkan wanita untuk ke masjid kerana solatnya di rumah sudah cukup untuk mendapatkan ganjaran.

Bagi wanita yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya solat di rumah lebih memberi keselesaan. Wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan para suami untuk ke masjid. Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Riwayat Muslim)

Dalam masa yang sama, tiada larangan untuk wanita ke masjid namun syarat-syarat yang telah ditetapkan perlulah dipatuhi. Hakikatnya, solat tarawih adalah amalan sunat yang boleh dilakukan di mana sahaja dan tidak semestinya dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita.

Selamat merebut ganjaran kebaikan di bulan pesta ibadah yang bakal tiba!

Wallahua’lam.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen