“Jangan Jadikan Alasan Perut Kosong Ketika Berpuasa Sukar Untuk Mengawal Kemarahan” –Dr Zaharuddin -

Pada bulan Ramadhan, kita bukan sahaja perlu menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah mengawal sikap diri sendiri yang bakal memudaratkan. Sebagai contoh, mengawal api kemarahan di dalam diri supaya tidak menyakitkan hati insan yang lain dengan lisan yang tajam. Seperti memaki hamun, melemparkan kata-kata kotor dan sengaja mencari gaduh dan seumpama dengannya.

Sebagaimana Nabi SAW mengingatkan :-

“Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali” ( Riwayat Al-Bukhari)

Berikut adalah perkongsian dari Dr Zaharuddin Abd Rahman

********

RAMADHAN DAN NAFSU KEMARAHAN.

Tahanlah marahmu..

Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina. Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya.

Dari Abu Hurayrah r.a:-

“Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah” ( Riwayat Ibn Khuzaymah, Fath Al-Bari, hlm 126)

Ya, ubah posisi diri, agar aqal yang tidak waras kerana marah dapat dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.

Adakalanya, makian yang dihamburkan hanya didengari oleh diri sendiri, maka diri sendirilah yang menjadi mangsa arus negatif kata yang menyakitkan itu, hanya menyakit diri sendiri. Tiada kepuasan yang sebenar..'kepuasan' yang diperolehi dari makian dan cacian hanyalah palsu semata.

Ada yang marah sehingga membunuh, kemudian menyesal dan tidak menyangka itu perbuatannya. Ya ia seperti arak yang memabukkan, menghilangkan pertimbangan waras aqal dan iman.

Ada yang marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar. Semua itu diinginikah ?

Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat apa?.

Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah. Itu saja, tapi kesannya amat dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah dan yang dimarahi.

Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi SAW. Namun ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar, maruah diri dan keluarga yang cuba dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan peraturan.

Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan aqal. Ia cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk mengikat dan mengawal kemarahan.

Malang pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.

Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu. Ia hanya mainan Syaitan.

Perut kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan, yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan secara habis-habisan di bulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan jangan lagi perut dijadikan alasan.

********

Semoga Bermanfaat Dan Semoga Kita Dapat Mengawal Lisan Kita Daripada Berkata-Kata Yang Tidak Berfaedah Pada Bulan Ramadhan Ini!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen