Tidak Kiralah Berapa Ramai Dikurniakan Anak Lelaki Atau Perempuan, Yang Penting Kualiti Bukan Kuantitinya.

Oleh: Zuzu Yasmine

Apa yang Allah beri itulah yang terbaik sebenarnya buat kita. Tapi mungkin juga ia boleh jadi ujian terhadap diri kita. Miliki anak ramai atau tidak itu bukan perkara yang boleh dipertikaikan sebenarnya. Akan tetapi tetaplah bersyukur dengan pemberiannya.

Orang kata, zaman sekarang ini kualiti lebih penting berbanding kauntiti. Haa, jadi dah ada dua atau tiga anak itu sudah cukup untuk memeriahkan rumah tangga kita dan mengeratkan hubungan suami isteri. Dapat jantina sama atau berbeza itu adalah perkara yang lain.

Kadang-kadang orang kita ini begitu berusaha untuk dapatkan anak sepasang lah apa lah. Kalau anak semua perempuan, selagi itulah masih gigih berusaha untuk dapatkan anak lelaki pula. Anak itu rezeki, kalau Allah nak beri dia beri, kalau tidak sudah tentu ada kelebihan di sebaliknya.

Macam perkongsian kisah dari Intan Dzulkifli ini, bersyukurlah dengan anak-anak yang Allah telah berikan. Jangan sampai terlalu memaksa diri sehingga akhirnya diri sendiri yang tertekan.



"DUA ORANG JE?" soal seorang wanita tatkala saya duduk menunggu suami.

"Haah, alhamdulillah,"

"Dua-dua perempuan?" soalnya lagi.

"Haah, ya..."

"Tak teringin ke nak bagi suami baby boy pulak?" soalnya lagi.

Kali ini, saya mampu senyum sahaja.

"InsyaAllah, yang dua ni pun dah alhamdulillah," balas saya perlahan.

"Kena usaha lagi tu, bagi dapat yang lelaki, rugi muda lagi..." katanya lagi. Riak wajahnya serius sahaja sejak dari tadi.



Tiada garis senyuman.

Tidak tahu apa difikirannya. Saya pula bukan pandai nak menelah apa di dalam hatinya.

Akhirnya, saya cuma mengangguk sambil membalas 'insyaAllah' sebelum meminta undur diri.

Untuk menjaga kebajikan emosi sendiri, soalan sebegini saya biarkan sahaja bagai angin lalu, kerana antara sebabnya, suami saya sendiri belum ada mempersoalkan apa-apa berkaitan hal ini.

Untuk itu, saya amat bersyukur juga, tidak diuji suami yang tidak dapat menerima kenyataan tidak dikurniakan anak lelaki. Kalau tidak, berat juga untuk menanggung akibat suami yang jahil dan tidak redha dengan ketentuan Ilahi.

Jauh di sudut hati, saya yakin, Allah menentukan ini yang terbaik untuk saya dan suami buat masa ini. Sebab anak ni pemberian Allah. Pinjaman dari Allah.

Bukan kata bila saya beranak, ia tanda kehebatan saya, bukan.. Bukan di tangan saya untuk menentukannya.

Kalau bolehlah hendak dipilih-pilih umpama memilih sayur di pasar. Namun, sebagai hamba, kita kena yakin, pilihan Allah itulah yang terbaik.

Ada orang, bila dia ada anak, dia rasa dia ada kelebihan berbanding orang yang tidak beranak.

Ada orang, bila dia ada anak lelaki dan perempuan, dia rasa hidupnya lebih sempurna berbanding yang tidak memiliki anak kedua-dua jantina.

Namun, jika diterbalikkan pula,

Orang yang belum beranak, melihat ada anak seorang pun sudah rahmat yang besar.

Orang yang anak baru seorang dan 'struggle' untuk menambah zuriat, melihat ada anak dua orang sama jantina pun adalah rezeki yang tidak ternilai.



Kita jenis yang bagaimana?

Nikmat yang kita ada sekarang ini membuatkan kita MEMBESARKAN ALLAH atau merasa nikmat pinjaman itu adalah tiket untuk MEMBESARKAN DIRI SENDIRI?

Nafsu kita memang kata nak anak ramai, kalau boleh nak berpasang-pasang, selang seli, tetapi rupanya mungkin tidak sedar menzalimi mental dan emosi pasangan.

Kadang bukan isteri sahaja trauma dan mentally exhausted tetapi sesetengahnya kaum suami pun sama kerana terlalu berat memikir kelangsungan nafkah anak isteri.

Hal merancang anak, serta pendidikan mereka memerlukan kerjasama kedua belah pihak. Tak cukup jika salah seorang sahaja yang berhempas pulas, sedangkan seorang lagi 'lepas tangan'.

Oleh itu selagi mana kita suami isteri okay dan bahagia dengan keadaan yang Allah izinkan kita berada sekarang ni, sudah memadai, insyaAllah. Pedulikan apa pandangan orang lain. Kita lebih faham rumahtangga kita.

Ingatkan diri kita sentiasa, dunia ini bukan untuk MEMBESARKAN NAFSU, tetapi untuk MEMBESARKAN TAQWA. Bukan tentang taqwa kita sahaja, bahkan iman dan taqwa isteri serta anak-anak juga.

Lihat anak-anak kecil memang comel, tetapi kerenah dan mehnah membesarkan mereka bukan hal mudah. Bertimbangrasa lah dengan pasangan.

Berdamailah dengan ketentuan takdir. Setiap anak bukan sahaja rezeki, bahkan adalah amanah yang berat. Apa sahaja ketentuan Allah, samada beranak ramai mahupun tidak, itulah takdirNya yang terbaik untuk kita.

Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)

Cukuplah ayat ini mengingatkan betapa besarnya tugas kita sebagai ibubapa, sebagai suami isteri.

Ingatan dan muhasabah buat saya yang PALING banyak lalai dan buat silap.
Wallahu 'alam.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen