Kalau Dah Kahwin Nanti Risau Hubungan Dengan Mertua, Takut Kalau-Kalau Tak Boleh 'Masuk' Dengan Mereka. Apa Kata Kita Cuba Praktik Tips Lelaki Ini.

Oleh: Zuzu Yasmine

Ibu bapa mertua ini bukan kelurga yang asing lagi selepas kita berkahwin dengan anak mereka. Ibu bapa mertua ini seolah ibu bapa kita sendiri selepas kita terima anak mereka untuk jadi pasangan hidup kita. Mungkin kadang sukar untuk kita merapati atau mendekati keluarga ini, tapi itu bukan bermaksud kita ini tidak boleh menjadi menantu yang baik buat mereka.

Nak jadi menantu yang baik atau sebaliknya ini bermula dengan diri sendiri, malah bagaimana kita memberi layanan kepada ibu bapa mertua kita. Bagaimana sikap mereka, atau baik buruknya kita kena terima dengan berlapang dada.
Sebab itulah, ada istilah menyatakan kalau kita kahwini seseorang itu, maka kita juga akan berkahwin dengan keluarganya. Mana boleh kita nak bawa lari anak orang yang sememangnya ada pertalian darah dengannya.



Sedikit nasihat dan tips daripada Akhtar Syamir ini mungkin boleh jadi panduan buat kita yang bakal menjadi menantu ini. Mana tahu selepas ini kita jadi menantu disayangi keluarga mertua.



Bagaimana Menjadi Menantu Yang Disayangi Mentua.

Sebelum bergerak pulang dari kampung pagi semalam, saya bersarapan dulu. Anak-anak sedang bermain dengan Tok Ayoh mereka dan Isteri saya sedang sibuk menyusun barang di dalam kenderaan. Ya, isteri saya lebih hebat menyusun barang dan beg.

Hanya Mek (Mak Mentua) sahaja seorang diri di dapur. Dari jauh lagi saya nampak ada bungkusan nasi dan kuah di atas meja makan. Selalunya beginilah apabila kami menjadi keluarga yang terakhir meninggalkan kampung. Mek tak masak sebab hanya beberapa orang sahaja yang tinggal.

Baru sahaja nak merebahkan punggung di kerusi meja makan, Mek terus menghulurkan pinggan dan mempelawa saya makan. "Makan Ta" katanya ringkas. Ada bungkusan Nasi Kerabu dan Nasi Berlauk. Saya beri Nasi Kerabu kepada Mek dan membuka Nasi Berlauk untuk saya di atas pinggan.

Mek terus berada di sebelah saya membantu membukakan ikatan getah plastik bungkusan kuah ayam tu dan kemudiannya cuba menuangkan kuah ke dalam nasi saya. Saya terus sambut dan ucapkan terima kasih. Dalam hati saya, "Ya Allah, baik sungguh Mek kepadaku".

Baca semula situasi di atas dan bayangkan gambaran seorang Mak Mentua berumur dalam lingkungan 70 tahun, melayan menantunya seperti itu. Sebelum ini, pernah juga saya kongsikan mengenai Kopi Khas buat saya. Boleh baca coretan ringkas itu di sini.

Saya bukanlah seorang yang kaya. Saya bukanlah seorang yang berjaya. Saya hanya menantu biasa. Saya tiada kemampuan untuk memberi kemewahan kepada sesiapa pun.

Mungkin ramai yang rasa saya menantu kesayangan. Mungkin juga ada yang rasa saya pandai bodek Mentua. Sebenarnya tidak. Saya hanyalah seorang menantu yang Mentua saya sayang, itu sahaja.

Jika anda berjaya baca sehingga ke tahap ini, mungkin anda terfikir, apa sebenarnya yang telah saya lakukan untuk saya mendapat layanan sebaik ini?

Pertama sekali ialah sikap Mentua itu sendiri. Saya dikurniakan Mak dan Ayah Mentua yang sangat baik dan penyayang. Mak Mentua saya percakapannya sangat halus dan berlemah-lembut. Pergerakannya perlahan tetapi masih mempunyai keringat untuk menoreh setiap hari, berkebun dan mengail. Memang luar biasa bagi orang yang berumur 70an. Ayah Mentua pula orangnya tegas dan nampak keras tetapi sangat berlembut dengan menantu, tidak kira menantu lelaki atau perempuan.



Keduanya ialah, bagaimana saya melayan anak mereka, iaitu isteri saya.

Saya sangat jarang berkeras dengan isteri. Ada perbezaan yang sangat tipis antara tegas dan marah. Saya sentiasa meniti titian yang membahagikan kedua-dua perkataan itu. Jarang sekali saya jatuh ke arah marah walaupun kadang-kala isteri saya ingat saya dah marah sedangkan saya hanya bertegas.

Saya juga sangat mengutamakan keperluannya sebagai seorang suri rumah. Jika anda faham pengorbanan suri rumah ini, bagaimana mereka meletakkan diri mereka bukan di tempat yang pertama, anda akan menjadi seorang suami yang hebat. Segala keperluan dia di rumah saya sediakan untuknya. Suri rumah ini manusia, mereka ada keperluan untuk menjadi manusia. Mereka perlu rehat, mereka perlu ada hiburan supaya tidak bosan, mereka perlu ada benda yang menyibukkan, mereka ada hobi dan kegemaran. Ini semua di samping keperluan asas seperti makanan dan pakaian serta tempat tinggal.

Saya memudahkan urusan isteri untuk berhubung dengan ibu dan bapanya di kampung. Kemudahan ini tidak terus hadir saat saya bernikah dengan dia. Dahulu terbatas dengan amaun prepaid yang ada. Sekarang, panggilan ke kampung tiada batasan dengan panggilan tanpa had. Jadi, seorang anak yang sentiasa dapat berhubung dengan ibu dan bapanya pada bila-bila masa pastinya seorang anak yang gembira.

Saya mengambil berat hubungan dengan ipar, iaitu adik beradik isteri. Sama ada ipar lelaki atau perempuan, saya sentiasa hormat langsung tidak pernah berkeras. Saya tahu kedudukan saya sebagai ipar dan jarang masuk campur urusan adik beradik. Menjaga hubungan dengan ipar juga bermaksud mengeratkan dan mengekalkan hubungan isteri dengan adik beradiknya. Jika ada program atau ajakkan untuk berjumpa, pasti akan saya penuhi jika ada kesempatan. Rumah kami pun sentiasa terbuka untuk mereka datang saat saya ada atau tiada.

Saya juga mengambil kisah hubungan dengan saudara mara serta jiran sekampung Mentua. Bawa isteri ziarah saudara maranya dan mesra dengan mereka. Tidak lupa juga sentiasa hormat dan senyum, senyum, senyum.

Saya sentiasa menjaga mood dan suasana ketika keluarga bertemu dengan Mentua. Ini amat penting bagi saya. Perlu sentiasa gembira dan dalam keadaan mood yang baik saat bertemu dan saat berpisah. Paling tidak bagus apabila pertemuan atau perpisahan itu dalam keadaan yang tegang. Kerana mood saat itu akan diingati dan terkesan dalam masa yang sangat lama.

Saya juga sentiasa berfikir, apa yang kami boleh lakukan untuk menambah baik kehidupan Mentua di kampung. Ini selalu kami fikirkan setiap kali sebelum pulang ke kampung. Ada masanya kami akan beli kelengkapan keperluan dapur dan rumah. Tak mahal mana pun, kebanyakannya barang di Mr. D.I.Y je. Barangannya kecil sahaja tetapi bila ada, ianya sangat membantu. Kadang-kala benda mudah seperti membawa pulang minyak angin Yoko-Yoko pun dah buat mereka gembira.



Akhir sekali, kegembiraan anak mereka apabila bersama saya. Mak Ayah mana yang tak seronok jika anaknya sentiasa gembira dengan menantu? Saya sentiasa ingat yang apabila saya berkahwin, saya sebenarnya mengambil sesuatu yang sangat berharga dari mereka dan bersetuju memikul amanah berat serta berjanji untuk menjaga amanah itu dengan sebaik mungkin.

Inilah sebabnya setiap kali celiknya mata, kebahagiaan isteri menjadi keutamaan saya dan inilah sebabnya kenapa Mentua saya sangat baik dengan saya.

Ingat, penulisan ini bukanlah untuk berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk atau apa juga perkara yang negatif, tetapi ianya bertujuan untuk berkongsi, memberi panduan dan inspirasi kepada semua orang supaya menjaga hubungan yang baik dengan Mentua.

Mudah sahaja sebenarnya, berbuat baiklah dengan Mentua dan anak-anak mereka, pasti akan dibalas dengan kebaikan juga. Buat sahaja bahagian kita sebagai menantu dengan sebaik mungkin. Jangan terlalu gusar dengan perkara yang di luar kawalan. Jangan juga risau dengan hasad orang lain. Fokus pada keluarga kita sendiri dan hubungan dengan keluarga isteri (atau suami).

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen