Kopi Americano Yang Menyatukan Aku & Dia

Oleh: Bella Bahrin

Assalammualaikum nama aku Sarah. Hari ini aku nak ceritakan macam mana kisah cinta pertama aku berakhir macam tu je. Tanpa aku sempat luahan dan tanpa sempat aku perjuangkan. Aku berjumpa dengan dia secara tak sengaja di kedai coffee. Aku ingat lagi masa aku tengah minum di situ, dia masuk tergesa-gesa dan pesan 1 gelas Americano. Dapat je kopi itu, dia terus berlari tapi dalam satu masa yang sama dia jaga kopinya supaya tak tumpah. Kejadian tu berulang banyak kali dan aku juga berjumpa dengannya makin kerap. Aku yang mulanya abaikan dia perlahan mula tertarik dengan dia.

Bukan sebab rupa paras dia yang buat aku tertarik, tapi dengan sikap dia yang cuai, gelabah, dan senyuman dia buat aku boleh tenung muka dia lama-lama. Aku bukan lah seorang yang mudah jatuh cinta. Sekarang usia aku yang masuk 25 tahun, baru kali ini aku tertarik dekat seseorang. Bukan niat nak jual mahal bila dapat surat cinta, atau luahan. Tapi sebab hati aku tak tertarik dengan mereka. Aku tak nak bila aku ada hubungan dengan dia, tapi aku tak ada perasaan istimewa langsung dekat dia, sebab aku tak nak beri harapan palsu.

Sekarang barulah aku rasa perasaan tu. Perasaan yang selalu kawan aku cakap, tak nampak orangnya, nampak atap bumbung rumah dia pun jadi lah. Baru kali ini aku rasa berbedar dan cuma dia seorang je aku rasa perasaan ni. Tapi malangnya seorang tu adalah stranger yang langsung aku tak kenal siapa nama dia, latar belakang dia. Dia ni orangnya macam mana, baik ke atau entah-entah penyamun. Tertanya dengan semua soalan tu, aku ambil keputusan untuk cuba berkenalan dengan dia. Tak salahkan kalau perempuan yang mula perkenalan dulu?

Hari tu dengan cemas aku tunggu dia depan pintu kedai waktu sama biasa dia datang. Tapi dah dekat 1 jam aku tunggu, dia tak datang-datang juga. Aku mula fikir dia tak datang dan aku rasa kecewa, niat di hati nak berkenalan tak kesampaian. Nampaknya hari ni dia tak dapat datang jadi terpaksalah aku tunda dulu niat aku.

Aku pun masuk ke dalam dengan keadaan lesu, tak bersemangat. Aku duduk di kerusi dan membaringkan separuh badan aku di atas meja. Mata aku memandang jalan dekat luar sambil berharap dia muncul, tapi tetap dia tak muncul juga. Aku bangun dan pandang tempat kaunter yang ramai pelanggan beli Americano.

Americano dekat kedai ni memang popular dan buat aku tertanya, sedap sangat ke Americano dekat sini sampai selalu habis? Sebab aku tahu tak ramai yang minat Americano, aku pun bukanlah penggemar kopi hitam tu.  Tertanya dengan rasa Americano, aku pun akhirnya pergi ke kaunter dan pesan kopi tu satu. Bagi aku takpelah sebab nak mencuba kan? Kalau betul tak kena dengan tekak aku, ini kali pertama dan kali terakhir aku beli. Kalau sedap, aku akan masukkan dia dalam list minuman kegemaran aku.

Aku pergi beratur dan akhirnya kopi tu sekarang berada dekat tangan aku. Aku pun pusing ke belakang untuk duduk dekat tempat asal aku, tapi baru berapa langkah suara familiar yang biasa aku dengar buat aku terhenti. Aku pusing ke belakang dan aku tengok laki yang selama ni aku tunggu ada tepat dekat depan mata aku.

“Maaf, Americano dah habis bang. Baru je habis.”

Muka dia terus hampa sangat dan dia pusing ke belakang untuk keluar dari kedai ni. Belum sempat dia capai pintu aku terus menjerit sikit memanggil dia. Mendengar jeritan aku, dia pun pusing ke belakang dan aku berjalan cepat ke arah dia. Jarak aku dan dia sekarang dalam 5 langkah dan kami saling berpandangan.

“Ya cik, cik nak apa?”

“Nah.”

Tanpa banyak cakap, aku pun bagi Americano dekat tangan aku kepada dia. Mulanya dia tak nak ambik, lagi-lagi dengan stranger macam aku yang tiba-tiba nak bagi Americano dekat dia. Bila aku terangkan yang aku salah beli kopi dan aku tak minum Americano, barulah dia ambik sambil tersenyum ucap terima kasih. Senyuman dia manis sangat sampai boleh buat aku terkedu dan muka aku memerah.

Akhirnya dekat situ lah perkenalan pertama kami. Nama dia Adam dan dia bekerja berhampiran dengan kawasan situ. Jadi memang patutlah aku selalu nampak dia dekat situ sebab rumah aku juga memang dekat kawasan sini juga. Kami berbual sampai lah kami tahu sedikit sebanyak tentang diri masing-masing. Agak lama kami berbual, dia pun meminta untuk pergi dulu sebab dia ada hal lain. Tapi kami sempat bertukar nombor telefon dan dia berjanji bila ada masa, lain kali dia akan belanja aku kopi pula.

Selama seminggu ni, kami keluar bersama dan saling kongsi cerita antara satu sama lain. Dia layan aku dengan baik dan lembut sangat sampai aku makin jatuh cinta dekat dia. Aku bahagia sangat sampai selalu tersenyum sorang-sorang. Boleh katakan aku ni memang tengah angau macam budak-budak baru bercinta. Tapi hakikatnya memang betul, sebab ni baru pertama kali aku rasa jatuh cinta. Bukan hanya setakat suka dan tertarik je.

Pagi tu, aku dapat kad jemputan. Ibu aku cakap sepupu aku yang nak kahwin. Aku agak rapat dengan dia dan terkejut sebab dia lagi muda 2 tahun dari aku, tapi dia yang kahwin dulu. ‘Takpelah mungkin jodoh dia sampai awal dari aku.’ Itu apa yang aku fikir dalam kepala aku. Tiba masa hari perkahwinan sepupu aku, kami bersiap dan datang. Suasana macam biasa dan taka da yang istimewa. Cuma makcik-makcik bawang yang selalu bertanya bila aku nak ada kekasih dan bila nak berkahwin. Tak lama kompang dan gendang mula berbunyi menandakan pengantin telah datang. Aku pun pusing ke belakang untuk melihat pengantin dan aku rasa jantung aku macam nak gugur. Tak sedar air mata aku turun bila aku tengok pengantin lelaki, sebelah sepupu aku tu ialah Adam. Orang yang selama ni aku cinta dan sayang.

Tak lama aku tertawa, aku mengutuk kebodohan aku bila aku sedar yang sepupu aku suka Americano. Sedangkan Adam pula bila aku fikir balik dan aku tengok gelagat dia, dia tak berapa suka kopi. Dia selalu nak keluar awal dan tak selesa bila dekat dalam kedai kopi tu. Jadi selama ni dia beli Americano dan sanggup masuk kedai tu bukan untuk dia, tapi semata-mata untuk sepupu aku. Betapa beruntungnya sepupu aku tu. Dan tak sangka orang yang aku cinta kini menjadi sebahagian dari keluarga aku. Betapa keciknya dunia ni. Aku tengok betapa bahagianya mereka, senyum tak pernah lepas dari bibir mereka. Aku hanya mampu mendoakan mereka semoga mereka kekal bahagia hingga akhir hayat. Aku relakan hati aku dan aku akan cuba lupakan perasaan ni. Sakit tapi dia bukan milik aku dan aku tak boleh memilikinya. Dia dah jadi milik orang lain sekarang. Aku terus tinggalkan majlis tu dan balik ke rumah. Dekat bilik aku menangis sepuasnya dan aku luahkan semua yang aku pendam.

Kini, aku masih di kedai yang sama sambil minum Americano yang sekarang jadi favorite aku. Bukan sebab aku tak boleh move on dan aku masih harapkan dia. Tapi sebab Americano ni mengingatkan aku tentang kisah cinta aku yang tak kesampaian. Walaupun pahit dan tak menarik sebab hitam, tapi dalam masa yang sama ada manisnya juga.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen