"Saya menyesal serahkan semula Amir kepada ibu kandungnya..." - Keluarga angkat allahyarham Amir

"Saya menyesal menyerahkan semula Amir kepada ibunya, tetapi apakan daya, saya memahami hak seorang ibu yang mahu anaknya kembali ke pangkuannya." 

Itulah antara bait-bait kata yang terzahir dari mulut ibu angkat arwah Amir sewaktu ditemu bual pihak media siang tadi. Ahli keluarganya masih terasa dengan pemergian anak angkat kesayangan mereka sekeluarga. Namun siapalah kita mahu menidakkan takdir dan ketentuan Tuhan, dia lebih menyayangi anak kecil itu.

Tak sangka Amir pergi dalam keadaan macam tu

Mengenangkan nasib Amir yang meninggal dunia di rumah ibu kandungnya, luluh hati wanita yang digelar oleh 'Umi' itu. Lebih menyayat hati adalah polis mendapati bahawa arwah bukan sahaja meninggal gara-gara lemas bahkan dia juga terlibat dengan kes penderaan kerana hasil bedah siasat pihak polis menemui kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan arwah.

Norlida Abu Hassan, 50, menyatakan bahawa dia terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah ketika didera sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

Dia tidak pernah menyusahkan

Tambah Norlida lagi, Amir tidak pernah menyusahkan mereka sama sekali dan tidak banyak celoteh. Kehadiran Amir sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

"Saya menjaganya bagai menatang minyak yang penuh dan menganggapnya sebagai anak bongsu. Sejak menjaganya, dia tidak pernah menyusahkan saya, malah arwah memang tidak pernah mendesak jika mahukan sesuatu termasuk barangaan permainan."

-Norlida Abu Hassan-

Bukan itu sahaja yang membuatkan dia kagum dengan Amir malahan dia juga tidak menyangka bahawa kanak-kanak berusia 7 tahun itu berjaya menghafal surah Al-Mulk selepas belajar dengan kakak angkatnya.

Sukar untuk menerima pemergian

Dari lubuk hati yang paling mendalam, jujur sukar untuk menerima semua yang terjadi dalam sekelip mata itu. Tidak terbayang rasanya penderitaan yang dialami oleh Amir sejak dia dibawa pulang semula oleh ibu kandungnya.

"Saya memang terkejut dengan keadaan ini. Kenapa dia diperlakukan seperti itu, saya memang tak sangka,"

-Norlida Abu Hassan-

Tak sampai hati lihat ibu menanggung rindu

Sesungguhnya air yang dicincang itu takkan putus, begitulah peribahasa yang sesuai untuk digambarkan antara Amir dan ibunya.

Sejak Amir kecil lagi, keluarga angkatnya tidak pernah menghalang untuk ibu kandung Amir melawatnya jika rindu bahkan tiada sebarang surat perjanjian pun mereka buat untuk menentukan siapa yang lebih layak untuk menjaga Amir.

Justeru itu, apabila ibunya sering kali mengadu dia rindukan anaknya, tidak sampai hati rasanya ingin menyekat Amir daripada berjumpa dengan ibunya sehinggalah mereka terpaksa melepaskan Amir kerana ingin pulang ke pangkuan keluarga kandungnya.

'Adik rindu umi, abah, kakak dan abang'

Menurut ibu angkatnya lagi, sejak Amir pulang ke pangkuan keluarga kandungnya pada Oktober yang lalu, ibu kandungnya menghalang mereka dari terus berhubung.

"Kami bercakap di telefon pun dihalang, malah mesej dihantar melalui aplikasi Whatsapp dan panggilan video juga tidak dibenarkan."

"Bapa tiri Amir terpaksa membawanya berjumpa dengan saya secara senyap-senyap kerana tidak mahu diketahui oleh ibu kandungnya."

-Norlida Abu Hassan-

Ketika bapa tirinya membawa Amir berjumpa keluarga angkatnya, kanak-kanak itu pernah ditanya sekiranya dia rindu atau tidak dengan Norlinda sekeluarga dan memang perasaan itu tidak dapat disembunyikannya lagi. Amir mengakui bahawa dia memang rindukan Umi, abah, kakak dan abang angkatnya yang lain.

"Adik rindu Umi, abah, kakak dan abang tetapi adik tidak boleh sebab terpaksa ikut mama(ibu kandungnya)."

-Amir-

Susulan kejadian tersebut, pasangan suami isteri itu disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak berkenaan. Mereka berdua telahpun direman selama tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes tersebut.

 

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen