Covid-19 punca kematian 15 jemaah masjid dalam tempoh dua minggu

Oleh: Zuzu Yasmine

Saban hari ada sahaja kes kematian akibat dijangkiti Covid-19 yang sememangnya sangat membimbangkan orang ramai.

Menerusi laporan Harian Metro, seramai 15 jemaah masjid di Taman Mahsuri, Jitra disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, kematian dalam kalangan jemaah masjid itu dipercayai berlaku sejak dua minggu lalu selepas virus itu merebak dalam kalangan jemaah pada Mei lalu.

"Ya... sehingga hari ini sudah 15 orang meninggal dunia, maklumat ini saya peroleh daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

"Virus ini merebak sejak tercetusnya kluster di Taman Mahsuri yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan selama dua minggu bermula 18 Mei hingga 31 Mei lalu," katanya.

Beliau mengulas perkara tersebut selepas tular video yang mendakwa 14 jemaah masjid Taman Mahsuri, Jitra telah kembali ke rahmatullah dalam masa dua minggu selepas positif Covid-19.

Malah, video berdurasi 32 saat itu turut memaparkan wajah individu yang dipercayai ahli jemaah masjid berkenaan yang sudah meninggal dunia.

Katanya lagi, kematian itu menunjukkan virus Covid-19 sangat bahaya hingga boleh meragut nyawa ramai orang dalam masa yang singkat.

"Kita harapkan virus ini cepat-cepatlah pergi, kita juga harap orang ramai terus mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin seterusnya kita dapat membentuk imuniti berkelompok," ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di sembilan lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra.

Lokaliti berkenaan ialah Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman Mukim Naga.

Sehingga tarikh itu, KKM sudah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti itu dan 94 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen