Solat fardu berjemaah di masjid selama 10 minit dibenarkan di Perlis

Oleh: Zuzu Yasmine

Bermula esok, segala aktiviti solat berjemaah di masjid seluruh Perlis dibenarkan tetapi dengan kapasiti maksimum mengikut saiz sesuatu masjid sahaja.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya berkata, perkenan berkenaan dilaksanakan setelah mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang dilihat semakin terkawal serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh masyarakat negeri ini.

"Oleh hal demikian, kehadiran jemaah di masjid seluruh Perlis dibolehkan dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula solat Subuh pada hari esok sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.

"Namun begitu, kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh negeri Perlis sahaja, manakala sebarang aktiviti di surau kekal ditangguhkan.

"Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP tetap diperketatkan dan semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan antaranya adalah memakai pelitup muka dengan digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka (face shield)," titahnya.

Titahnya lagi, jemaah masjid hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter pada setiap masa selain turut membenarkan jemaah yang erdiri dalam kalangan anak kariah sahaja yang berusia antara 12 hingga 59 tahun.

"Bagaimanapun, bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Sebagai langkah kawalan, mereka yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan dan negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir.

"Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin," katanya.

Dalam pada itu, baginda turut menyatakan bahawa tempoh masa pelaksanaan solat fardu adalah selama 10 minit serta laungan azan akan kembali dengan lafaz dan kaedah seperti biasa.

"Tempoh pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat adalah selama 15 minit sahaja,” ujarnya.

Baginda turut bertitah bahawa awatankuasa Kariah Masjid diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala SOP yang ditetapkan, sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

Bagaimanapun, baginda memperingatkan bahawa aktiviti berkumpulan sama ada kuliah, kelas, pengajian dan sebagainya selain solat Jumaat dan solat fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan.

Selain menyatakan bahawa aktiviti lain yang berkaitan masjid seperti solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan pematuhan SOP sepanjang masa.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen