"Dia anak yang baik..." - Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, belikan rumah & kereta buat ibu bapa

Oleh: Zuzu Yasmine

Sempat berbakti kepada kedua orang tua dan negara, itulah jasa yang akan dikenang selepas pemergian Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) malam tadi.

Memetik laporan Harian Metro, Allahyarham seorang yang cukup bertanggungjawab pada keluarga selain berusaha memastikan ibu bapanya hidup penuh selesa. Malah, beliau turut sempat membelikan ibu bapanya sebuah rumah pada 2017 selain Proton Saga pada 2019.

Menurut Ibu Allahyarham, Razilah Daud, 52, berkata, Mohamad Affendi yang juga anak sulung daripada tiga beradik sentiasa mahukannya serta suami, Bustamy Tuakal, 70, berehat di rumah selepas bekerja keras membesarkan mereka tiga beradik selama ini.

"Mohamad Affendi anak yang baik, dia hanya mahu kami berehat di rumah malah menyediakan rumah untuk kami, sebuah kereta selain tidak pernah lupa mengirim wang kepada kami setiap bulan. Pengorbanan serta jasanya kepada kami cukup besar.

"Sebelum berpindah ke rumah ini, kami menyewa di rumah di Felda Keratong 5 manakala suami bekerja sebagai buruh untuk menanggung keluarga.

"Mohamad Affendi tidak mahu kami terus hidup dalam keadaan susah dan kerana itu, dia menyediakan semua kemudahan untuk kami," katanya ditemui di kediamannya di Taman Redan Perdana.


Kata ibunya lagi, dia tahu arwah sedang menjalankan tugasan serta ujian penting kerana sempat memohon restu dan doa.

"Mohamad Affendi biasanya akan memaklumkan serta memohon restu selain doa saya sebelum menduduki atau menyertai ujian tertentu.

"Katanya, dia akan mengikuti satu ujian yang sangat susah sebelum ia selesai pada Isnin ini dan selepas itu, rutin hariannya akan jadi lebih mudah," luahnya.

Sementara itu, ahli keluarga yang hanya mahu dikenali sebagai Tam, 36, menyifatkan Mohamad Affendi sebagai individu pendiam namun sentiasa cemerlang dalam pendidikan.

"Mohamad Affendi berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan kerana mahu mengubah nasib keluarga.

"Dia memang berminat untuk menyertai TUDM. Selepas menamatkan tingkatan tiga di Muadzam Shah, dia menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) sebelum menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)," katanya.

Kata Tam, bapa Mohamad Affendi bekerja sebagai tukang rumah di Keratong dan lelaki berkenaan membelikan ibu bapanya rumah apabila dia mula bekerja.

Kata Tam, kali terakhir dia bertemu Mohamad Affendi ialah pada bulan lalu apabila Allahyarham menziarah keluarganya di Sendayan, Negeri Sembilan ketika menghadiri kursus.

"Kami berbual seperti biasa. Dia juga memaklumkan akan menamatkan kursus pada Isnin ini," katanya.

Untuk makluman, jenazah Mohamad Affendi akan disemadikan di Tanah Perkuburan Muadzam Shah selepas solat Maghrib hari ini.

Allahyarham terbunuh selepas pesawat Hawk berkenaan terhempas jam 10.07 malam di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen