Langgar lopak air sebelum terbabas, isteri maut & suami patah bahu

Oleh: Zuzu Yasmine

Seorang wanita maut manakala suami dan dua anak saudara mereka cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam nahas di Kilometer (KM) 392.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) arah Ajil menghala ke Bukit Besi, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pasangan terbabit, Nasir Mamat, 32, dan isterinya, Norbibi Arisysa Ab Latif, 26, serta dua anak saudara, Mohamad Danish Iskandar Mohd Darus, lapan tahun dan adiknya, Mohamad Danish Idlan, empat tahun, dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Cheneh, Kemaman, jam 11 pagi.

Difahamkan sebelum kejadian, keluarga terbabit dikatakan bertolak dari rumah mereka di Kampung Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus ke Cheneh, Kemaman melalui LPT2 pada jam 10 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian jam 11 pagi, kenderaan dipandu Nasir jenis Honda Jazz dikatakan melanggar lopak air, menyebabkan kenderaan terbabit gagal dikawal lalu terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan kanan arah Bukit Besi.

"Kejadian menyebabkan isteri mangsa, Norbibi Arisysa, dari Kampung Gong Tiong, Keluang, Besut yang duduk di hadapan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah.

"Kejadian turut menyebabkan bahagian hadapan kereta mangsa remuk," katanya.



Katanya, suami mangsa yang juga kakitangan kerajaan, patah bahu kiri manakala dua kanak-kanak terbabit cedera ringan. Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk rawatan lanjut.

"Mayat Norbibi Arisya dibawa ke Unit Forensik HHT untuk bedah siasat," ujarnya.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ )1987

Artikel Lain

Tinggalkan Komen