Kejam! Angkara cemburu buta, bapa simbah minyak panas pada bayi 4 bulan

Oleh: Zuzu Yasmine

Gara-gara cemburu buta, seorang lelaki tergamak menyimbah minyak panas ke arah isteri dan bayi perempuan yang berusia empat bulan di Semabok, Melaka.

Memetik laporan Utusan Online, lelaki berusia 24 tahun itu mendakwa isterinya yang merupakan suri rumah itu menjalinkan hubungan sulit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, bayi malang itu melecur di bahagian belakang pinggang, punggung serta kedua-dua kakinya, manakala si ibu berusia 22 tahun pula melecur paha kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, sebelum kejadian si isteri dikatakan sedang menggoreng ayam dan suspek berusia 24 tahun telah ke dapur bertanyakan tentang hubungannya dengan seorang lelaki.

Katanya, suspek kemudian berang dan mengangkat kuali berisi minyak panas dan menyimbahnya bahan kepada isteri dan bayi tersebut.

“Hasil siasatan awal, pertengkaran itu berpunca kerana suspek cemburu mendakwa isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain dan saling berhubung menggunakan telefon bimbit.

“Ketika kejadian bayi mereka berusia empat bulan menangis menyebabkan si isteri mendukungnya, namun secara tiba-tiba suspek telah mengangkat kuali dan menyimbah minyak panas itu terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut berkata, kejadian tersebut turut disedari ibu suspek, kemudian wanita itu telah membawa kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan di hospital.

“Suspek telah ditangkap dan kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Artikel Lain

Tinggalkan Komen