Anak Muda Lakukan 5 Perkara Ini Dahulu Apabila Terima Gaji.

Oleh: Zuzu Yasmine

Apabila tiba musim gaji sahaja, pasti ramai yang akan tertunggu dan ternanti-nanti bila duit akan masuk ke dalam akuan. Sikit-sikit nak periksa sama ada dah masuk atau belum. Mana tidaknya, dah plan nak makan apa malam itu, nak pergi mana, nak belanja kekasih hati semuanya telah diatur.

Ramai yang mempunyai sikap ini apabila tiba musim gaji, kalau ikutkan hati mahu dihabiskan duit gajinya pada malam itu juga. Tapi mujur masih mampu berfikiran jauh dan waras lagi kerana memikirkan kehidupan yang perlu dilalui hingga hujung bulan.

Ketika anda terima sahaja gaji anda, anda perlu lakukan perkara yang penting dan utama terlebih dahulu. Pastikan anda membahagikan wang anda untuk perkara yang penting dahulu, bukannya berbelanja dahulu. Ini kerana, apabila anda berbelanja terlebih dahulu, ia akan membuat wang anda semakin berkurangan, apabila anda lihat makin kurang maka makin liat untuk anda menyimpan atau membayar perkara yang penting.

Perkara apa yang perlu anda utamakan dahulu?



Utamakan 5 perkara ini dahulu.

1. Bayar Diri Anda Terlebih Dahulu (Menabung).

Sentiasa membayar diri anda terlebih dahulu sebelum membelanjakan wang. Kami tidak dapat menekankan betapa pentingnya untuk menabung – sama ada untuk kecemasan, matlamat kewangan anda (contoh Persaraan), atau matlamat peribadi anda (seperti pelancongan).

Simpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan anda kepada simpanan. Secara kasarnya, dana tabungan kecemasan anda sepatutnya sebanyak selama tiga hingga enam bulan, sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

                        

2. Utamakan Pembayaran Bulanan Yang Mahal (Contoh: Bil Kad Kredit)

Sentiasa mengutamakan bayaran dengan kadar faedah tinggi atau caj lewat untuk mengelakkan hutang terkumpul. Sebagai contoh, bil kad kredit dan pinjaman peribadi anda.

Elakkan melanggar syarat perjanjian anda untuk mengekalkan skor kredit yang baik. Bayar bil anda dengan jumlah penuh mengikut perjanjian dan pastikan anda membayar tepat pada masanya.

3. Dapatkan Pelan Takaful/Insurans Yang Betul.

Terdapat pelbagai jenis pelan insuran di pasaran, dan pilih yang paling sesuai dengan gaya hidup dan keperluan peribadi anda.

Jangan teragak-agak untuk mendapatkan perlindungan untuk diri anda, kerana anda boleh membuat tuntutan untuk pelepasan cukai ke atas Takaful dan Insuran.

Jenis-jenis yang paling biasa di Malaysia untuk dipertimbangkan: Takaful / Insuran perubatan dan kesihatan, Takaful / Insuran am (contohnya perjalanan, kemalangan peribadi, insurans kereta), dan insuran hayat. Perlu diingat bahawa anda akan mendapat pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 untuk sumbangan kepada KWSP dan perlindungan Takaful / Insuran hayat.


4. Ibu bapa di kampung.

Mungkin bagi sesetengah orang merasakan beri wang kepada ibu bapa belum tentu membuahkan hasil. Namun sebenarnya, ia akan membuatkan hati anda lebih tenang kerana mengembirakan kedua ibu bapa anda. Jangan pernah kedekut dengan ibu bapa anda kerana merekalah yang telah berkorban untuk anda.

Jika anda tidak mampu memberikan satu jumlah yang banyak, cukup sekadar anda memberi satu jumlah yang sedikit. Berikan satu jumlah yang anda merasakan anda mampu dan merasakan ia bukan beban serta terpaksa. Percayalah rezeki yang akan anda perolehi selepas itu pasti akan lebih berkat dan anda akan menerima pelbagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

                      

5. Melabur.

Apabila anda telah memperuntukkan wang yang cukup untuk simpanan dan perbelanjaan bulanan, sudah tiba masanya untuk melabur baki wang tersebut untuk keuntungan diri sendiri.

Sekiranya anda belum memulakan tabung persaraan, sekarang adalah masa terbaik untuk berbuat demikian. Pertimbangkan untuk membuka akaun SP1M jika anda bekerja sendiri. Anda juga harus mempertimbangkan untuk melabur dalam skim persaraan swasta, yang boleh memberikan perlindungan yang baik kepada dana persaraan anda.
Jenis pelaburan lain yang perlu dipertimbangkan termasuk deposit tetap (risiko rendah), unit amanah (risiko rendah ke sederhana), hartanah (risiko sederhana) dan saham blue chip (risiko tinggi).

Sebelum membuat sebarang pelaburan, pastikan anda telah membuat penyelidikan yang mencukupi untuk memahami sepenuhnya risiko yang terlibat, sejarah pertumbuhan, yuran dan caj, dan lain-lain instrumen pelaburan pilihan anda.

Selepas anda melakukan semua ini barulah anda gunakan wang yang tinggal itu untuk sewa rumah, bil elektrik serta air dan perkara-perkara lain yang menjadi keutaman anda. Tapi pastikan anda tidak terlalu banyak berbelanja sehingga tiada wang yang tinggal untuk digunakan sehingga hujung bulan.



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen