Pernah lalui saat duka, Hafreez Adam akui banyak belajar dari hubungan lalu. Dia yang sudah move on sepenuhnya menyatakan bahawa hubungan lalu tidak kesampaian adalah berpunca dari sikapnya.
Walaupun begitu, Hafreez berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, dia banyak bermuhasabah diri akan kesilapannya.
“Sepanjang tempoh PKP tempoh hari, saya banyak muhasabah diri. Senang cerita dalam tempoh itu saya mula kenal siapa diri saya. Antara kesilapan lalu yang saya lihat pada diri bagaimana saya pandang enteng soal komunikasi.
“Saya selalu memendam rasa dan selalu beranggapan semua perkara itu kecil dan tidak perlu diluahkan. Walhal bila kita terlepas pandang perkara itu ia akan memberi kesan kepada hubungan itu sendiri,” katanya.
Masih belum bertemu pengganti, dia menjelaskan bahawa tidak serik untuk kembali bercinta namun pada masa ini dia mahu beri tumpuan kepada keluarganya terlebih dahulu.
“Tempoh sekarang saya tidak mencari, tetapi tidaklah serik untuk kembali dalam hubungan. Cuma dalam tempoh sekarang memang masa saya ke tempat kerja dan di rumah. Jadi tidak sempat bertemu orang,” jelasnya.
Pelakon berusia 30 tahun ini juga menjelaskan dia tidak serik untuk bercinta dengan artis malah, dia juga berkongsi sedikit ciri-ciri wanita idaman hati.
“Saya tidak serik bercinta dengan artis, malah kalau ikut logik memang dunia saya lebih banyak di tempat kerja dan selalunya memang golongan artis sahaja yang saya akan jumpa.
“Antara ciri-ciri wanita yang saya perlukan adalah seorang yang ceria selain berfikiran terbuka. Sebab apabila berada dalam industri ini kita memerlukan seseorang yang memahami pekerjaan sebagai seorang pelakon,” katanya.
Tinggalkan Komen