Diberhentikan kerja, dua beradik sengau cari rezeki sebagai 'rider' penghantar makanan

Oleh: Zuzu Yasmine

Walaupun dilahirkan dengan kekurangan, namun itu bukan alasan untuk tidak berusaha mencari rezeki yang halal dengan menggunakan kudrat yang ada. Malah, biasanya golongan ini lebih berusaha kuat untuk mencari rezeki bagi sama-sama merasai kehidupan yang selesa seperti insan sempurna lain.



Perkara itu juga dilalui oleh dua beradik ini apabila Amirul Haizan Rosli, 27, yang dilahirkan sengau manakala Mohamad Syafiq,23, pula sumbing. Namun begitu kesungguhan dua beradik ini dalam usaha mencari rezeki sebagai penghantar makanan beri inspirasi.

Diberhentikan kerja

Abang yang sengau menunggang motosikal, adiknya yang sumbing pula membonceng mencari arah ke lokasi penghantaran makanan berpandukan aplikasi navigasi.

Dua beradik ini dahulunya merupakan juruteknik di hotel dan penyelia tapak projek, namun disebabkan pandemik Covid-19 mereka diberhentikan dari perkerjaan tersebut pada Mac lalu.

"Memandangkan abang juga menerima nasib sama, kami berbincang dan akhirnya sepakat menjadi penghantar makanan bersama. Lagipun, motosikal cuma sebuah, jadi lebih baik kami lakukan kerja bersama daripada menganggur," katanya.


Menurut Syafiq, kerja berdua lebih mudah dan mereka hanya perlu membahagikan hasil pendapatan yang diterima.

"Pendapatan tidak menentu kerana bergantung jumlah pesanan tetapi secara purata kami boleh meraih kira-kira RM1,700 setiap bulan,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman membuat penghantaran, mereka menyatakan bahawa ada segelintir pelanggan bertanya hubungan mereka bagi mendapatkan kepastian kerana jarang melihat penghantar makanan datang berdua.

"Kami bekerja setiap hari dan membuat penghantaran di sekitar kawasan Lembah Klang daripada pagi hingga tengah malam.

"Biarpun masih baharu, banyak pengalaman dilalui malah pernah dimaki hamun pelanggan kerana lewat membuat penghantaran disebabkan hujan lebat dengan ribut petir.

"Saya hanya mampu mohon maaf ketika itu dan serahkan makanan kepadanya sebelum beredar," katanya.

Pernah mohon kerja lain

Sementara itu, Amirul Hafizan yang juga anak kedua daripada enam beradik berkata, dia pernah memohon pekerjaan lain selepas diberhentikan kerja sebagai kakitangan hotel.


Namun, belum ada pihak menghubunginya untuk menghadiri temu duga atau mengambilnya sebagai pekerja.

"Jadi, buat sementara waktu, saya bekerja dulu sebagai penghantar makanan dengan adik.

"Senang kerja bersama adik kerana jika ada masalah di tengah jalan, dia ada untuk membantu. Rata-rata pelanggan ditemui juga memberi layanan baik dan tidak mengejek atau mempersendakan kekurangan kami," katanya.

Sebelum ini, kisah dua beradik ini tular di Facebook berikutan seorang pelanggan mereka berkongsi kisah mereka kerana tersentuh usaha mereka mencari rezeki hingga lewat malam.

"Saya tidak tahu pada mulanya dan hairan juga mengapa ada pemandu kereta yang memerhatikan kami ketika berhenti di lampu isyarat.

"Rupanya disebabkan kisah yang tular itu. Terima kasih yang memberi kata semangat, semoga anda semua dimurahkan rezeki dan sentiasa sihat walafiat," katanya

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen