Aku Buntu

Nama aku Amalia. Berusia 27 tahun. Mempunyai seorang kekasih dan belum ada keputusan untuk berkahwin. Jadi, apa yang aku nak luahkan ni adalah tentang aku dan kekasih aku. 

Kami dah bercinta selama 7 tahun dan tahun ni adalah tahun ke-7 percintaan kami. Baru bercinta belum ada apa-apa ikatan lagi. Sejujurnya, aku dalam dilema nak teruskan atau tak hubungan ni.

Aku gelarkan dia H. Aku dan H bercinta daripada zaman belajar di Universiti. Kami mengambil bidang yang sama dan juga merupakan rakan sekelas ketika itu. H seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi keluarganya. Masa di Uni H melakukan banyak pekerjaan sambilan demi menampung hidupnya dan juga memberikan sedikit wang kepada ibu bapanya tapi dia juga tak pernah abaikan pelajaran walaupun pointer dia tak pernah dekan tapi tak pernah kurang daripada 3.0. 

Selain tu, H juga merupakan anak sulung daripada 7 orang adik-beradik dan jarak antara umur mereka sangat dekat, beza setahun saja. Berbeza dengan aku, aku anak tunggal dan lahir dalam keluarga yang serba mencukupi. Namun, ni tak bermakna keluarga aku tak terima H. Keluarga kami telah saling mengenali dan aku cukup senang dengan keluargannya. Ye lah, keluarga dia meriah tak macam aku. 

Tentang keluarga kami tiada masalah namun masalah wujud antara aku dan H. Bila kami dah habis belajar, aku minta H untuk bertunang tapi H menyatakan bahawa dia tak nak bertunang. Dia nak kahwin terus. Aku hanya mengikut katanya. H minta aku tunggu dan berikan dia waktu untuk cukupkan duit kahwin. 

Sejujurnya, H ni memang lelaki yang baik cuma dia seorang yang terlebih berjimat untuk diri sendiri. Setiap apa yang dia nak beli untuk diri dia, dia tangguh dulu. Dia akan lebihkan adik-beradik dia dan aku. Setiap kali ulang tahun aku, dia mesti belikan hadiah yang mahal-mahal tapi untuk diri sendiri dia tak pernah beli pun. Aku perasan saja semua tu. Pernah juga aku nasihatkan dia untuk jaga diri dulu sebelum jaga orang lain. Dia buat tak tahu dan kata, 

“Dalam rezeki saya, ada rezeki awak.”

Bila dengar ayat dia ni, aku diam saja lah dan ikut segala rentak dia. Sepanjang perkenalan antara aku dan H, kami tak pernah keluar berdua. Dia mesti akan bawa adik perempuan dia sekali dan masa di universiti pun kami jarang berjumpa secara berdua sebab boleh aku katakan si H ni orangnya agak pemalu dengan perempuan namun dalam masa yang sama peramah. 

Sikap peramah dan tak kekok bila berhadapan dengan sesiapa saja tanpa mengira usia membuatkan aku cintakan dia. Orang selalu kata yang aku ni beruntung jadi teman wanita dia. Daripada rupa sehingga ke akhlaknya tak ada cacat cela dan aku pun bersyukur tentang perkara tu. 

Namun, hanya satu saja kekurangan H. Jika orang melihatnya daripada luaran dia kelihatan sebagai seorang yang tenang dan sentiasa tersenyum tapi hakikatnya, H adalah seseorang yang sukar menyatakan perasaannya. Dia lebih memilih untuk memendam dan jarang untuk bercerita tentang masalah yang dia hadapi. Bila dia ada masalah, dia akan menghilang selama beberapa hari tanpa sebarang khabar. Bahkan, keluarga dia pun tak tahu dia pergi mana tapi lepas tu dia akan kembali dalam keadaan yang baik dan bertemu dengan aku seperti hari-hari biasa. 

Kadang aku risau juga tentang perkara ni. 7 tahun bercinta aku masih tak faham dnegan perangai dia yang satu ni. Selalu aku pesan jangan hilang bila ada masalah tapi dia masih macam tu juga. Sebabkan sikap dia ni, mak ayah aku minta dia cepat halalkan hubungan atau aku putus saja dengan dia. 

Bila mak ayah aku dah selalu tanya aku jadi tertekan juga tapi nak putus tu aku macam tak sanggup pula. Aku buntu nak buat keputusan apa. Aku harap, semoga adalah kata-kata yang dapat berikan aku pencerahan.

Sekian, terima kasih.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen